Halaman

10 October 2013

Terengganu kumpul peminat gamelan

Oleh: Suriati Ali dan Syazni Zainudin (Pelatih)

Terengganu bakal menjadi medan pertemuan ramai pakar, pencinta serta peminat gamelan tempatan dan luar negara bagi menyertai Festival Gamelan Sedunia 2013 di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu.

Festival anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) itu diadakan selama tiga hari, bermula 25 Oktober depan.

Penolong Kurator (Perhubungan dan Pemasaran) LMNT, Mohd Saberi Muda berkata bertujuan festival kali ketiga ini merupakan usaha berterusan selepas Festival dan Simposium Gamelan yang pernah diadakan pada 2008 dan 2010.

Katanya, apa yang menariknya, ia turut disertai beberapa kumpulan dari luar negara, termasuk kumpulan Gamelan Bali, Jepun, Jawa, Kumpulan Gamelan Melayu United Kingdom dan China.

 "Festival ini juga akan turut disertai beberapa kumpulan gamelan tempatan dan profesional tempatan seperti Hand Percussion, Kumpulan Pak Ngah, Kumpulan Gamelan Istana Budaya dan beberapa kumpulan dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta," katanya dalam satu kenyataan..

 Beliau berkata, sempena festival itu beberapa aktiviti seperti pameran, persembahan gamelan serta gerai jualan akan turut diadakan.

 “Satu sesi bengkel gamelan akan turut diadakan dengan memfokuskan kepada permainan alatan muzik gamelan Melayu, Bali dan Jawa.

 "Bengkel ini akan dikendalikan tiga pakar muzik gamelan dan sejumlah 400 peserta terdiri daripada pelajar IPT dan penggiat seni gamelan akan menyertai bengkel ini," katanya.

 Mohd Saberi berkata melalui bengkel itu, diharapkan agar peserta dapat menguasai asas alat muzik gamelan.

"Festival yang melibatkan seluruh karyawan muzik dan tari gamelan seluruh dunia secara eksklusif ini bakal menjadi penyumbang terbesar ke arah merealisasikan hasrat untuk menjadikan negeri Terengganu sebagai destinasi khusus yang menjadi ikon kesenian gamelan dunia," katanya.