Halaman

06 October 2013

Jadikan Bahasa Melayu bahasa teras

OLEH : CHE KU ZAINAL CHE KU MUDA


Rakyat di negara ini diminta supaya menjadikan Bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa teras dalam usaha untuk memertabatkan bahasa berkenaan sebagai bahasa Kebangsaan.

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Awang Sariyan menegaskan bahawa BM adalah bahasa asal di Tanah Melayu dan ia telah diamalkan sejak berkurun-kurun yang lampau.

Beliau berkata, selain orang-orang Melayu BM turut diamalkan oleh bangsa lain di negara ini seperti Cina, India, Kadazan dan sebagainya.

Oleh itu, beliau meminta supaya Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini supaya sama-sama memainkan perana ke arah memartabatkan BM dengan penganjuran bengkel-bengkel BM.

“Kita tahu bahawa DBP telah diwujudkan oleh kerajaan sejak tahun 1956 lagi dan tujuan utamanya ialah untuk memartabatkan BM kita semua harus berterima kasih kepada para penulis yang terdahulu dengan gigih menulis cerpen, novel, puisi dan sebagainya.

 “Oleh itu, saya sarankan agar semua pelajar termasuk pensyarah di IPTA atau universiti yang setaraf dengannya supaya memartabatkan BM supaya menjelang tahun 2020 BM tidak lagi menjadi mandul”, tegasnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara DBP dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu yang diwakili Rektornya, Prof. Madya Dr. Abdol Samad Nawi di Dewan Bidara di Hotel UiTM di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut pengasas Noor Arfa Batik, Wan Mohd. Ariffin Wan Long dan Ahli Lembaga Pengarah Aman Palestin, Hasimah Salleh turut mengadakan MoU dengan UiTM.

 Selain itu, Awang meminta agar pelajar dan pensyarah UiTM merancakkan lagi bengkel-bengkel penulisan supaya BM tetap menjadi gah di Rantau Asia dan juga dunia.

Bercakap kepada pemberita, Abdol Samad berkata UiTM telahpun menghantar sebanyak 30 manuskrip kepada DBP untuk dicetak.

“Sebenarnya, sudah lama UiTM memartabatkan BM dan telah banyak buku yang berbentuk ilmiah dicetak dan kita juga sudah menghantar sebanyak 30 naskah manuskrip kepada DBP untuk dicetak.

“Jadi dengan termenterainya MoU di antara UiTM dengan DBP ia akan menguatkan lagi usaha kami bagi memastikan BM terus gah dan sangat berharap agar semua rakyat di negara ini supaya mengamalkan BM,” katanya.