Halaman

06 October 2013

Rakyat Terengganu, lahir di Korea Selatan.

Oleh: Aminudin Ismail. 

Balqis  menunjukan IC sementara Korea miliknya.
SETIU: Seorang ibu yang melahirkan anak sulungnya di Korea Selatan, kira-kira empat bulan lalu tetap memilih mahu membesarkan anaknya di Malaysia, khususnya Terengganu kerana kehidupan di negara ini jauh lebih baik berbanding negara orang.

Aina Atirah Mat Zin, 25, pelajar bidang Kejuruteraan Mekanikal di sebuah universiti terkemuka di negara maju itu, menamatkan pengajiannya baru-baru ini tetapi kini menetap di Korea Selatan kerana mengikuti suaminya yang bekerja di negara itu.

“Anak saya ini, Balqis Ammar, lahir di Korea empat bulan lalu tetapi tetap warganegara Malaysia dan rakyat Terengganu kerana kami mendaftar kelahirannya di Kedutaan Malaysia di negara ini. Walaupun ayahnya bekerja di sini lebih setahun lalu, tetapi kami tidak bercadang menetap di sini.

“Kami mahu membesarkan Balqis di Malaysia kerana Malaysia adalah sebuah negara makmur dan aman. Khususnya Terengganu yang tinggi nilai budayanya dan penduduknya kuat pegangan agama. Walaupun negara ini kaya dan lebih maju dari Malaysia tetapi saya rasakan Malaysia adalah lebih baik,” katanya yang berasal dari Setiu itu.

Di bawa bersiar-siar di bandaraya Seoul.
Menurut Aina, kedatangan suaminya ke Korea Selatan, bekerja bukanlah untuk selama-lamanya tetapi mahu mencedok pengalaman bekerja di sebuah negara maju sebelum pulang semula untuk berkhidmat di negara sendiri.

“Suami akan bekerja di sini beberapa tahun lagi untuk mencari pengalaman dengan sebuah syarikat ternama di Korea ini. Insya Allah, jika menemui kerja yang sesuai, dia akan pulang ke Malaysia, dan kalau boleh di Terengganu untuk menabur bakti di negara sendiri,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Terengganu (Sester) itu.

Aina bekas pelajar tajaan JPA itu, berkata sebagai sebuah negara maju, kerajaan Korea Selatan memiliki banyak kecanggihan dalam pengendalian negaranya tetapi kos sara hidup sebuah negara maju itu sememangnya tinggi.

“Rumah yang saya duduki ini lebih RM2 ribu sebulan sewanya, manakala depositnya mencecah RM15,000, rumah  hanya mempunyai satu bilik dan satu ruang tamu berbanding Malaysia di mana sewa sebanyak itu kita boleh menyewa sebuah apartmen atau kondo mewah,” katanya ketika dihubungi melalui Skype, semalam.

Menurutnya, berbanding rakyat negara Korea, rakyat Malaysia lebih ramah mesra dan saling bertegur sapa antara satu sama lain tetapi rakyat korea lebih kepada peribadi dan kerjaya kerana itulah mungkin mereka agak kurang bertegur sapa.

"Kebanyakan Pelajar Malaysia yang menamatkan pengajian mereka  memilih untuk pulang bekerja di Malaysia walaupun di Korea Selatan gaji yang ditawarkan agak tinggi  kerana Malaysia adalah sebuah negara yang aman, damai dan harmoni,” katanya.