Halaman

08 October 2013

Tiga rumah bertanding Sukan SKKBTD.

Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

Rumah merah ketika acara perbarisan.
JABI: Tidak sebagai mana biasa, empat rumah yang bertanding di kejohanan sekolah, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu Tok Dor (SKKBTD) mungkin agak berlainan kerana hanya tiga rumah yang bertanding bagi merebut gelaran juara sukan sekolah itu.

Rumah-rumah itu iaitu Rumah Merah, Biru dan Kuning manakala 48 acara sukan, balapan dan sukaneka dipertandingkan membabitkan kira-kira 150 murid.

Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifli Jusoh, berkata keadaan itu agak unikdan jarang berlaku di sekolah lain bagaimanapun dia mengharapkan setiap pasukan bersungguh-sungguh bertanding untuk mencapai kejayaan dalam kejohanan sukan itu.

Katanya, setiap pelajar juga perlu menyeimbangkan antara sukan dan pelajaran supaya mereka tidak ketinggalan untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Zulkifly rasmi sukan SKKBTD, Wan Kuntum (kiri)
Menurutnya, beberapa athlet ternama di negara ini yang berjaya mencipta nama dalam bidang sukan tetapi cemerlang dalam pelajaran seharusnya menjadi contoh kepada pelajar yang meminati bidang sukan.

“Kita semua kenal dengan beberapa bekas athlet negara seperti Marina Chin, Rabuan Pit, Zaiton Othman dan lain-lain, mereka ini adalah athlet yang menjadi kebanggan negara tetapi mereka mampu belajar hingga ke peringkat tinggi dan memegang jawatan yang baik.

“Murid-murid semua perlu mencontohi mereka, jika meminati bidang sukan, kita perlu berjaya dalam kedua-dua bidang itu supaya masa depan kita lebih baik. Pelajaran amatlah penting bagi kita kerana pada masa depan seseorang itu perlu mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan jika mahu ke universiti,” katanya.

Sementara itu, Guru Besarnya, Wan Kuntum Wan Abdullah berkata, beliau mengharapkan kejohanan sukan itu akan memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.

"Selain itu, saya juga mengharapkan supaya kejohanan sukan ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain dan dapat melahirkan athlit yang menjadi kebanggaan sekolah suatu hari nanti," katanya melalui buku cenderamata.