Halaman

08 October 2013

Lima belas pasukan berentap merebut kejuaraan Kejohanan Silat Kebangsaan Ke-17

Oleh: Aida Abd Rahman

YB A Latif memasukkan keris pesaka kedalam sarung sebagai gimik perasmian
Sebanyak 15 pasukan bakal berentap untuk merebut juara keseluruhan Kejohanan Silat Kebangsaan Ke-17 Piala YAB Perdana Menteri 2013, bermula semalam

Kejohanan yang berlangsung lima hari itu menyaksikan pertembungan sengit bekas juara empat tahun berturut-turut, Pahang dan tempat ketiga tahun lalu yang disandang pasukan tuan rumah, Terengganu dalam mempertahankan kedudukan masing-masing menerusi dua kategori utama yang dipertandingkan.

Timbalan Pengerusi Pengelola Kejohanan, Datuk Zubir Embong berkata, pertandingan yang diadakan setiap tahun itu bukan sahaja bertujuan untuk mengenal pasti atlet ke kejohanan Sukan SEA 2014 nanti, malah bagi mencungkil bakat baru dalam arena sukan persilatan bahkan menjadi medan buat Persatuan Silat Kebangsaan (Pesaka).

 “Selain 13 kontinjen negeri yang bertanding kejohanan ini turut disertai dua kontijen dari Gayung Fattani dan Gayung Malaysia untuk memeriahkan lagi pertandingan.

 “ Pada kejohanan ini, seramai 500 atlet bakal bersaingan dalam 28 acara iaitu 20 dalam acara silat olahraga lelaki dan wanita manakala lapan lagi menerusi acara silat seni bagi lelaki serta wanita,” katanya di majlis perasmian yang berlangsung di Gerbang Persilatan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Terengganu, malam tadi.



Turut hadir merasmikan kejohanan, Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri, YB A Latiff Awang.



 Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Haji Zainal Abidin Hussin dan Timbalan Presiden Pesaka, Datuk Md Suhaimi Md Shah.

Menurutnya, juara kejohanan bakal membawa pulang wang tunai RM2,000, kedua RM1,500 manakala tempat ketiga RM1,000.

Manakala pengurus pasukan Terengganu, Encik Nashruddin Hamzah berkata, tuan rumah meletakkan sasaran empat pingat emas pada kejohanan ini, masing-masing daripada kategori silat olahraga dan silat seni.
Katanya, sasaran itu dilihat realistik berbanding pencapaian tempat ketiga tahun lalu dan mengharapkan atlet Terengganu mampu melakukan kejutan untuk terus kekal dalam tiga kelompok terbaik kejohanan.

 “Bagi kejohanan kali ini kita menghantar seramai 21 peserta dengan gandingan muka lama dan baru khususnya atlet pelapis bagi projek Sukma 2014 nanti,” katanya.