Halaman

07 October 2013

Terengganu sedia kongsi Konsep ‘Ulul Albab’

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri sedia berkongsi kejayaan Konsep 'Ulul Albab' yang diperkenalkan di Terengganu demi memartabatkan bidang pendidikan negara sekali gus melahirkan generasi pewaris yang cemerlang akademik dan sahsiah diri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas Terengganu, YB Ghazali Taib berkata, kerajaan negeri menyambut baik hasrat kerajaan Kedah yang tertarik dengan program tersebut dan mahu dilaksanakan di negeri itu.

“Ia merupakan suatu pengiktirafan kepada negeri Terengganu apabila kerajaan Kedah sudi mencontohi dan mengaplikasikan apa yang telah kita laksanakan.

“Demi membangunkan anak bangsa khususnya dalam aspek pendidikan, kerajaan negeri berbesar hati bekerjasama dengan kerajaan Kedah untuk merealisasikan Konsep 'Ulul Albab' di negeri tersebut menjadi kenyataan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita ketika ditemui di Majlis Dialog Bersama Exco Pendidikan Kedah dan Exco Pendidikan Terengganu di Riyaz Heritage, malam tadi.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Tuan Haji Azmi Razik.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Kedah, Dato’ Haji Tajul Urus Mat Zain berkata, apa yang menarik mengenai Konsep ‘Ulul Albab’ ia merupakan suatu kaedah memantapkan lagi pendidikan sedia ada khususnya dari segi peningkatan jati diri contohnya seperti penghafalan al-Quran.

 “Selain meningkatkan ilmu agama dan keintelektualan pelajar, ia turut memprogramkan mereka supaya tidak membuang masa kerana disamping mempelajari kurikulum biasa, masa pelajar akan dipenuhi dengan program-program ‘Ulul Albab’.

Dato’ Haji Tajul Urus berkata, beliau akan meminta Jabatan Pelajaran Kedah mengkaji secara lebih terperinci mengenai perkara tersebut yang turut mendapat sokongan daripada YAB Menteri Besar Kedah.

“Sebagai perintis, kita akan memilih satu sekolah agama rakyat untuk laksanakan program ini dan menyasarkan Konsep ‘Ulul Albab’ terlaksana di negeri Kedah pada tahun 2015.

Katanya, sekiranya program ini boleh berjaya di Terengganu, beliau yakin ianya juga boleh berjaya di kedah.

Konsep 'Ulul Albab' adalah pembelajaran yang berlandaskan al-Quran dengan menggabungkan sains, teknologi serta moral dan berupaya melahirkan generasi yang sesuai untuk Malaysia sebagai negara Islam.

 

Umno Terengganu tampil lapan calon rebut jawatan dalam Umno Pusat

Oleh; Esah Abdullah 

Umno Perhubungan Negeri Terengganu menampilkan lapan calon bagi merebut jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Exco Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Malaysia dalam pemilihan parti itu pada November depan.

Menteri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pengajian Tinggi dan Pelajaran 11, Dato’ Seri Idris Jusoh menawarkan diri untuk calon MKT.

Dato’ Seri Idris, Ahli Parlimen Besut merupakan Naib Ketua Umno Bahagian Besut yang menang tidak bertanding dalam percalonan Umno bahagian itu baru-baru ini.

Manakala Dato’ Seri Ahmad Shabery, Ahli Parlimen Kemaman juga diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman.

Dato’ Seri Idris dan Dato’ Ahmad Shabery merupakan penyandang MKT .

Manakala Bendahari Pergerakan Wanita Perhubungan Terengganu yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Marang (menang tidak bertanding) Senator To’ Puan Zaiton Mohd Amin merupakan calon tunggal dari negeri ini untuk merebut jawatan Exco Pergerakan Wanita Umno Malaysia.

Tiga calon Pemuda iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Setiu, YB Iskandar Jaafar; Encik Abdul Aziz Ismail dan Encik Mohd Husaimi Hussin turut menawarkan diri untuk jawatan Exco Pemuda Umno Malaysia.

Manakala dua calon Puteri bagi merebut jawatan Exco Pusat ialah Naib Ketua Pergerakan Puteri Perhubungan Terengganu merangkap Ketua Puteri Bahagian Kemaman, Puan Asfalinda Anuar dan Exco Pergerakan Puteri Terengganu Puan Normadiana Kamaruddin.

Majlis pengenalan calon-calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi dan Exco Pergerakan Sayap Umno diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak semalam. Lebih 2,000 calon seluruh negara hadir.

KRT Kampung Molek anjur gotong royong

OLEH : CHE KU ZAINAL CHE KU MUDA



Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Molek mengadakan aktiviti sukaneka pada 5 Oktober lalu bertempat di hadapan Sekolah Kebangsaan Bandar Dungun bermula jam 9.00 pagi.

 Pengerusinya, Zakaria Husain berkata, tujuan sukaneka ini diadakan ialah bagi mengeratkan tali silaturahim di kalangan ahli dengan penduduk kampung.


Beliau berkata, selain itu ia juga mampu membawa kepada kesefahaman dan kecaknaan jiran sekampung walaupun berlainan ideologi, agama dan kaum.

 “Kita sedar bahawa bukan semua penduduk kampung mempunyai fahaman politik yang sama tetapi tujuan kita mengadakan program sukaneka ini ialah bagi mengeratkan lagi tali persaudaraan terutama di kalangan kanak-kanak.

“Pihak KRT sangat berharap agar tali persaudaraan yang selama ini berpecah akibat fahaman politik yang berbeza dapat ditautkan kembali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita pada Program Sukaneka Peringkat KRT Kampung Molek yang disertai seramai kira-kira 80 orang penduduk kampung termasuk kanak-kanak.

Di antara acara yang diadakan ialah pertandingan melukis bagi kanak-kanak berumur satu sehingga enam tahun manakala kanak-kanak Tadika dijemput menyertai acara mewarna lukisan.

Bagi memeriahkan majlis, acara selambut kasih terbuka untuk ibu bapa secara berpasangan dengan menggunakan belon berisi air dan telur mentah turut diadakan di samping cabutan nombor bertuah.

Selain itu, KRT Kampung Molek juga mendapat kerjasama daripada pemilik kereta antik serta motosikal berkuasa besar di sini turut mempamerkan kenderaan mereka.

 Zakaria berkata, KRT Kampung Molek juga baru sahaja diluluskan penubuhan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan pihak KRT mengharapkan kerjasama dari semua penduduk kampung terutamanya lelaki untuk mendaftarkan diri sebagai ahli rondaan SRS.

Berkempen secara berhemah-Pengerusi BPUNT

Oleh; Esah Abdullah 

"Berkempen tidak salah tetapi biarlah secara berhemah," itu nasihat Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu (BPUNT), Dato’ Seri Haji Ahmad Said, kepada semua ahli Umno yang menawarkan diri bagi bertanding pelbagai jawatan parti tahun ini.

“Bila ada pertandingan memanglah perlu berkempen tetapi elakkan dari menfitnah kawan sendiri semata-mata untuk menang dalam parti,” katanya ketika berucap di majlis Pengenalan Calon-calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Exco Pergerakan Sayap Umno di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak semalam.

Katanya, berkempenlah secara sihat jangan sampai jatuh menjatuhkan pihak lawan itu dikira tidak bagus untuk masa depan parti yang ditunjangi bersama. Lebih 2,000 perwakilan Umno termasuk calon dari tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri serta MKT  memperkenalkan diri masing-masing.

Calon Naib Presiden yang juga Menteri Besar Kedah, Dato’ Mukhriz Mahathir dan juga Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) Dato’ Seri Mohd Ali Rustam turut hadir.

Antara calon MKT yang hadir termasuklah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom dan Dato’ Seri Shahidan Kassim; Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Mohamad Hassan dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Hasan Malek.

Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar mengingatkan semua jentera calon agar tidak membuat kesilapan ketika berkempen kerana ia akan memberi kesan tidak baik kepada parti terutama untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

 

Haikal Juara Termuda 'Speed Race'.

Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

Haikal gembira bersama hadiah dimenangi kumpulannya.
SETIU: Pemenang paling muda dalam Karnival ‘Speed Race” yang diadakan sempena Sultan Mizan Cup 2013,di sini kelmarin , berhasrat mahu menjadi juara Kejohanan Kuda Lasak peringkat antarabangsa suatu hari ini.

Haikal Danial Darim, 7 tahun, berasal dari Tok Jiring, Kuala Terengganu, berkata, cita-citanya itu bermula apabila sering datang menyaksikan kejohanan Sultan Mizan Cup sejak dari kecil lagi dan melihat aksi kuda yang menyertai kejohanan itu.

“Nak jadi juara dunia suatu hari ini, saya minat kuda sejak umur empat tahun lagi. Ayah selalu ajar naik kuda sehinggalah saya boleh tonggang kuda dengan baik sekarang,” katanya yang menang dalam acara “sprint” test.

Haikal berkata, selepas mengetahui minatnya terhadap kuda, ayahnya sentiasa mengajar mengendalikan kuda pada setiap petang dan hari minggu dan kini dia boleh menonggang kuda dengan baik. “Walaupun saya selalu bermain kuda tetapi saya tida lupa pada pelajaran dan saya mahu berjaya dalam kedua-dua bidang itu,” katanya.

Sementara itu, seramai 20 peserta menyertai carnival itu yang terbahagi kepada tiga kelas iaitu kelas A, B dan C. Turut diadakan juga ialah pertandingan kuda cantik yang dimenangi kuda milik Mohd Hashim Yusof yang bernama Putri.

Manakala tempat kedua ialah kuda bernama Tengkok Pendek milik Mohd Hafizol Azhar dan tempat ketiga ialah kuda Pok Hashim Kuda bernama Aibox. Dalam kategori Kelas A, pemenang ialah Mohd Hafizi Mohd Zahri, kedua Ahmad Fitri Amin Muhammad dan ketiga ialah Mohd Afizol Azhar.

Kategori B pula pemenang ialah Wan Muhd Azmer Wan Zakaria, kedua, Mohd Afizol Azhar dan ketiga Kahirul Anwar. Hadiah-hadiah berupapa hamper dan wang tunai di sampaikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said.



Pemuda Umno relevan, wadah penting orang muda : KJ

Oleh: Aida Abd Rahman

Persaingan dan perebutan golongan muda bertanding pelbagai jawatan dalam Pergerakan Pemuda Umno membuktikan sayap parti itu masih relevan sehingga kini, kata Ketua Pergerakannya, YB Khairy Jamaluddin.

“Seramai 75 calon yang menawar diri bertanding bagi jawatan exco Pemuda ( Pusat). Ini sebenarnya bagus kerana menggambarkan bahawa Umno dan terutama nya Pemuda Umno masih relevan lagi, sehingga jawatan-jawatan dalam Pemuda Umno Pusat menjadi tumpuan dan rebutan ramai.

“Jika umno tidak relevan tiada yang berminat dengan Pemuda Umno,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama pemimpin Belia dan Masyarakat, di Dewan Besar Kompleks Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Pasir Panjang, Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Mohd Mahdi Musa, Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu, Encik Zaidi Muda dan Pengerusi Belia 4B Malaysia Terengganu, YB Mohd Iskandar Jaafar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi.

Turut hadir, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri, Encik Saiful Bahri Baharuddin.

Pada majlis itu, YB Khairy turut menyampaikan sumbangan dana kementerian sebanyak RM260,000 kepada 660 persatuan belia di seluruh Terengganu.

Menurutnya, sambutan baik di kalangan calon orang muda yang menawarkan diri juga memberi gambaran positif bahawa Pemuda Umno menjadi wadah penting bagi menyampaikan aspirasi dan suara golongan muda terutama anak Melayu.

Beliau turut menasihatkan supaya perwakilan bijak dan mampu membuat pilihan yang tepat dalam menentukan pemimpin yang dapat memenuhi aspirasi mereka menerusi pergerakan itu, pada pemilihan Umno nanti.

“Pada masa yang sama, saya harap walaupun ramai calon, perwakilan dapat buat pilihan yang tepat dan memilih exco pemuda yang konsisten melakukan kerja serta bukan hanya rajin melakukan kerja ketika waktu kempen.

“Tetapi yang mana kita dapat nilai bahawa dia ikhlas dan jujur untuk membuat kerja pada empat hingga lima tahun akan datang,”katanya.


Vateran perlu dekati golongan muda- Zulkifly

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Zulkifly(dua dari kini) berucap ketika merasmikan mesyuarat.
Antara ahli veteran UMNO Setiu yang hadir.
SETIU: Veteran UMNO perlu mendekati golongan muda agar mereka tidak semakin jauh dengan perjuangan UMNO, sekaligus mewujudkan golongan pelapis dalam parti dan memastikan UMNO terus relevan pada masa depan.

Ahli Parlimen Setiu, Che Mohd Zulkifly Jusoh, berkata hubungan baik antara veteran UMNO dengan golongan muda perlu diwujudkan secara berterusan supaya mereka akan sentiasa mendapat maklumat yang betul tentang UMNO dan tidak akan meninggalkan parti.

“Kalau boleh kita sebagai orang lama atau veteran ini kena cakna kepada orang muda supaya mereka ingat kepada perjuangan orang-orang lama ini. Kita lihat ada di antara mereka semakin jauh dengan UMNO, oleh itu kita sama-samalah mendekati mereka dan mengambil tahu apa yang mereka lakukan.

“Kita akan tubuh satu persatuan untuk pemuda-pemuda yang berada di luar daerah yang bekerja di Kuala Lumpur atau tempat-tempat lain supaya sentiasa ada hubungan dan mudah untuk kita menyalurkan maklumat yang betul kepada mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Vateran UMNO Setiu di Bandar Permaisuri, semalam.

Zulkifly...tanding secara sihat.
Che Zulkifly berkata, menjelang pertandingan merebut beberapa jawatan dalam pemilihan UMNO Bahagian nanti, beliau mahu semua pihak bertanding secara sihat dan elakan berlaku sebarang perpecahan yang boleh meruntuhkan parti.

“Kalau bertanding pasti akan wujud bibit-bibit perpecahan, oleh itu bertandinglah secara sihat dan berhemah supaya UMNO akan kukuh dan terus mentadbir daerah Setiu,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 30 vateran UMNO dari beberapa cawangan UMNO Setiu hadir di Persidangan Agong Tahunan Majlis Vateran UMNO yang berlangsung di Bangunan Perpustakaan Lama itu.


06 October 2013

KRT Lay Out Tok Saboh,Kuala Besut juara Kempen Kibar Jalur Gemilang 2013


Mohd Mahdi menyampaikan hadiah kepada wakil KRT Lay Out Tok Saboh.

Oleh: Mohammad Ishak 

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Lay Out Saboh,Kuala Besut, mencatat sejarah apabila muncul johan Pertandingan Kempen Kibar Jalur Gemilang (KKJG) Peringkat Negeri Terengganu 2013 anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu.

Dengan kejayaan itu KRT Lay Out membawa pulang RM3,000 serta Piala Iringan dan Sijil Penghargaan. Tempat Kedua ialah KRT Pancor Merah,Guntong,Setiu, mendapat RM2,000 serta Piala Iringan dan Sijil Penyertaan. Manakala tempat ketiga ialah KRT Alur Ketitir,Marang memperolehi RM1,000 serta Piala Iringan dan Sijil Penghargaan.

Majlis penyampaian anugerah itu dilakukan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat Negeri, Yang Berhormat Mohd Mahdi Musa yang mewakili Yang Amat Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Majlis yang berlangsung di Dewan Berlian Utama,Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) sempena Pelancaran Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Terengganu itu turut disertai lebih 1,000 tetamu mewakili ahli jawatankuasa KRT Rukun Tetangga seluruh Terengganu.

Pengarah JPNIN Terengganu,Baharuddin Haji Daud berkata, pertandingan KKJG itu bermula 17 Ogos dan berakhir 17 September lalu bertujuan menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan selain menyemai semangat patriotik dikalangan warga KRT.

Beliau yang bangga dengan sambutan yang diberikan oleh KRT terbabit berharap usaha berterusan dilakukan oleh KRT negeri ini untuk membangkitkan semangat cintakan negara melalui kempen berkenaan.

Sementara itu Mahdi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera memuji usaha yang dilakukan oleh JPNIN kerana penganjuran program berkenaan kerana ia dapat mewujudkan semangat rakyat mencintai negara. .

Usah rosakkan meter parkir - Exco

OLEH : CHE KU ZAINAL BIN CHE KU MUDA 


 Penduduk tempatan diingatkan supaya tidak mengamalkan vandalism ke atas Sistem Meter Pakir Berbayar yang dipasang di sekitar bandar negeri ini kerana ia merupakan usaha murni Kerajaan Tempatan bagi memudahkan orang ramai meletakkan kenderaan masing-masing dengan lebih sistematik dan teratur.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi Negeri, YB Roslee Daud berkata, rakyat perlu bertanggungjawab dengan tidak mengkhianati sebarang usaha kerajaan ke arah kesejahteraan rakyat kerana ia dilakukan bagi tujuan memudahkan orang ramai.

Beliau berkata, meskipun meter pakir tersebut berbayar namun ia tidak membebankan dan boleh memudahkan orang ramai dan rakyat negeri ini bagi meletakkan kenderaan dengan tersusun serta bergilir-gilir.

“Kita tahu sistem pakir bermeter dikenakan bayaran tetapi ia adalah usaha murni Kerajaan Tempatan dalam usaha supaya orang ramai meletakkan kenderaan mereka secara tersusun, teratur dan sistematik.

 “Oleh yang demikian, janganlah lakukan vandalism ke atas meter tersebut dengan meletakkan benda-benda yang boleh merosakkan meter berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Parking Bermeter oleh Majlis Perbandaran Dungun (MPD) di Perkarangan 7 Eleven di Pusat Perniagaan Sura Gate di sini semalam yang turut dihadiri oleh ketua-ketua jabatan.

Pada majlis tersebut beliau turut memberitahu bahawa MPD telah membelanjakan sebanyak RM1.2 juta bagi memasang 457 meter pakir berbayar secara keseluruhannya di bandar Dungun dan dari jumlah itu sebanyak 278 meter dipasang khusus di Pusat Perniagaan Sura Gate sahaja.

YB Roslee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bukit Besi berkata, dengan kadar 10 sen bagi 10 minit adalah berbaloi dan tidak membebankan orang ramai dan pengguna di samping boleh menghindarkan kesesakan.

Sementara itu, YDP MPD, Zulkifli Bakat berkata, orang ramai perlu meletakkan duit paling minima sebanyak RM0.30 sen bagi 30 minit pertama dan RM0.10 sen untuk setiap minit berikutnya.

Beliau berkata, tarikh beroperasi ialah pada 1 Oktober ini bermula pada pukul 8.00 pagi sehingga 5.00 petang pada setiap hari kerja iaitu Sabtu sehingga Khamis manakala hari Jumaat dan kelepasan am dikecualikan.

 “Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi arahan MPD iaitu dengan memasukkan duit sebanyak RM0.30 sen bagi 30 minit pertama dan RM0.10 sen bagi setiap minit seterusnya bagi mengelakkan mereka dikenakan kompaun oleh Penguatkuasa MPD.

 “Jika mereka gagal mematuhi arahan ini dan didapati mereka tidak meletakkan duit maka mereka akan dikenakan tindakan saman atau kompaun dan sebarang kesulitan bolehlah menghubungi 09 8481931 atau 012 9652084 puan Zalehah Mohamad”, jelasnya.

 

Jadikan Bahasa Melayu bahasa teras

OLEH : CHE KU ZAINAL CHE KU MUDA


Rakyat di negara ini diminta supaya menjadikan Bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa teras dalam usaha untuk memertabatkan bahasa berkenaan sebagai bahasa Kebangsaan.

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Awang Sariyan menegaskan bahawa BM adalah bahasa asal di Tanah Melayu dan ia telah diamalkan sejak berkurun-kurun yang lampau.

Beliau berkata, selain orang-orang Melayu BM turut diamalkan oleh bangsa lain di negara ini seperti Cina, India, Kadazan dan sebagainya.

Oleh itu, beliau meminta supaya Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini supaya sama-sama memainkan perana ke arah memartabatkan BM dengan penganjuran bengkel-bengkel BM.

“Kita tahu bahawa DBP telah diwujudkan oleh kerajaan sejak tahun 1956 lagi dan tujuan utamanya ialah untuk memartabatkan BM kita semua harus berterima kasih kepada para penulis yang terdahulu dengan gigih menulis cerpen, novel, puisi dan sebagainya.

 “Oleh itu, saya sarankan agar semua pelajar termasuk pensyarah di IPTA atau universiti yang setaraf dengannya supaya memartabatkan BM supaya menjelang tahun 2020 BM tidak lagi menjadi mandul”, tegasnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara DBP dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu yang diwakili Rektornya, Prof. Madya Dr. Abdol Samad Nawi di Dewan Bidara di Hotel UiTM di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut pengasas Noor Arfa Batik, Wan Mohd. Ariffin Wan Long dan Ahli Lembaga Pengarah Aman Palestin, Hasimah Salleh turut mengadakan MoU dengan UiTM.

 Selain itu, Awang meminta agar pelajar dan pensyarah UiTM merancakkan lagi bengkel-bengkel penulisan supaya BM tetap menjadi gah di Rantau Asia dan juga dunia.

Bercakap kepada pemberita, Abdol Samad berkata UiTM telahpun menghantar sebanyak 30 manuskrip kepada DBP untuk dicetak.

“Sebenarnya, sudah lama UiTM memartabatkan BM dan telah banyak buku yang berbentuk ilmiah dicetak dan kita juga sudah menghantar sebanyak 30 naskah manuskrip kepada DBP untuk dicetak.

“Jadi dengan termenterainya MoU di antara UiTM dengan DBP ia akan menguatkan lagi usaha kami bagi memastikan BM terus gah dan sangat berharap agar semua rakyat di negara ini supaya mengamalkan BM,” katanya.