Halaman

12 October 2013

Bekerjalah bersama saya- Iskandar...Cikgu Madi Menang Naib Ketua Pemuda.

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Iskandar berucap..Rosmadi (dua dari kiri)
SETIU: Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiu, Mohd Iskandar Jaafar mahu Naib Ketua Pemuda, Ahli Jawatankuasa (AJK) pemuda yang baru dipilih dan semua ahli pemuda bersama-samanya berusaha dan berganding bahu membawa UMNO terus maju untuk mempastikan Barisan Nasional terus mentadbir dan memajukan daerah Setiu.

Berucap selepas disahkan sebagai Ketua Pemuda UMNO bahagian yang baru pada Mesyuarat Pemilihan Pemuda UMNO Bahagian Setiu, di Putera Jaya, hari ini, pemuda berusia 37 tahun itu dengan penuh semangat dan iltizam berjanji akan menjalankan tugas dengan amanah, jujur dan ikhlas.

“Saya mengucapkan setinggi penghargaan amat berterima kasih kepada semua perwakilan pemuda UMNO hari ini kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk memimpin pergerakan ini. Memikul amanah ini adalah satu perkara yang berat tapi saya akan memikulnya dengan penuh tanggungjawab.

“Saya memegang jawatan ini bukan kerana kemulian atau mahu menunjuk-nunjuk kerana saya bukanlah seorang yang sayangkan jawatan, jika saya sayangkan jawatan tentunya saya tidak akan tinggalkan pekerjaan saya, kerana saya akan dinaikan pangkat kepada jawatan Pengarah.

“Saya mahu kesemua yang menjadi calon Naib Ketua Pemuda dan AJK pemuda, samada yang kalah atau menang, pada hari ini bersama-sama saya kita bangunkan UMNO.” katanya.

Dalam ucapanya juga, Iskandar mengumunkan pejabat baru Pemuda UMNO akan beroperasi di Bangunan UMNO Bahagian Setiu, Bandar Permaisuri.

Sementara itu penyandang Jawatan Naib Ketua Pemuda, Rosmadi Nasir berjaya mengekalkan jawatannya menewaskan Zokri Osman.


Perkasa mahu tarik belia sertai Umno

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Perkasa mahu menarik seberapa ramai golongan belia menyertai Umno bagi mengukuhkan parti itu dan Barisan Nasional (BN) sebagai persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14).

Ketua Penerangan Perkasa Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar, berkata pihaknya terpanggil untuk berbuat demikian lebih awal bagi memastikan golongan belia tidak ditarik menyertai pembangkang.

 “Lebih baik golongan muda ini ditarik menjadi ahli Umno lebih awal dan didedahkan dengan pelbagai program yang boleh menarik minat mereka menyokong kerajaan supaya mereka tidak terpengaruh untuk memihak kepada pembangkang.

“Saya bimbang jika mereka dibiarkan begitu saja pihak pembangkang akan mengambil kesempatan menghasut belia membenci kerajaan dan ini akan memberi impak yang besar kepada kerajaan dan BN pada PRU14 nanti,” katanya.

Beliau berharap niat murni pihaknya membantu memperkasakan Umno itu disambut baik semua pihak dan bantuan yang sewajarnya diberikan bagi merealisasikan hasrat tersebut.

 “Perkasa juga berharap NGO lain akan mengambil tindakan yang sama bagi membantu mengukuhkan Kerajaan BN yang diterajui Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said,” katanya.

Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Terengganu bersidang hari ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Seramai 13,7564 perwakilan Pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita Umno bahagian di seluruh negeri ini akan membuat penentuan pemimpin pada persidangan sayap parti bahagian masing-masing hari ini.

Pemuda, Puteri dan Wanita dari lapan bahagian Umno layak hadir persidangan sayap parti itu dan membuat pemilihan mengikut sistem baru yang baru diperkenalkan pada pemilihan tahun ini bagi memilih pemimpin peringkat bahagian dan pemimpin tertinggi Umno.

Pada persidangan hari ini, Wanita mempunyai 5,098 perwakilan, Pemuda 4,927 orang manakala Puteri 3,731 orang.

Mesyuarat perwakilan diadakan di bahagian masing-masing, bermula secara serentak kira-kira jam 8.30 pagi tadi dan dikuti proses pengudian.

Setiap bahagian membuka empat saluran pengundian mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberi keselesaan kepada perwakilan membuang undi.

Teganukita difahamkan proses membilang undi akan diadakan di bahagian masing-masing sebaik selesai perwakilan membuang undi dan keputusan dijangka diketahui paling awal jam 8 malam ini.

Tinjauan mendapati proses pengundian bagi memilih pemimpin Pemuda, Puteri dan Wanita berjalan lancar.

Pertubuhan Peladang guna buruh Indonesia kutip hasil

Pertubuhan Peladang guna buruh Indonesia kutip hasil Lembaga Pertubuhan Peladang Kuala Terengganu terpaksa menggunakan tenaga buruh dari Indonesia untuk bekerja memungut hasil buah kelapa sawit di ladang komoditi berkenaan disebabkan masalah kekurangan tenaga kerja tempatan.

Pengurus Besarnya, Sawalludin Ahmad, berkata pihaknya perlu mengambil langkah tersebut bagi mengelak kerugian akibat hasil tidak dipungut mengikut tempoh yang ditetapkan menyebabkan ia menjadi tidak segar.

Beliau berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan untuk mengambil 50 tenaga kerka asing untuk bekerja di ladang kelapa sawit di Bukit Diman, tetapi pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanya meluluskan 22 pekerja.

Katanya, perbadanan itu berharap dengan adanya tenaga buruh tambahan itu lebih banyak hasil dapat dipungut dan menambah pendapatan mereka.

1300 hadir mesyuarat 3 sayap UMNO Setiu hari ini.


Perwakilan Pemuda.
Oleh: Aminudin Ismail.

SETIU: Kira-kira 1300 perwakilan cawangan dari seluruh Setiu hadir di Mesyuarat pemilihan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO bahagian Setiu, yang bermula jam 9 pagi di tiga di tempat berasingan di Tarom dan Putera Jaya, hari ini.

Sehingga jam 1 tengahari tadi, keputusan pemilihan belum diumumkan dan dijangka diketahui selewat-lewatnya petang ini.

Berikut adalah gambar-gambar sekitar mesyuarat tiga sayap UMNO Setiu itu:
Perwakilan Wanita

Perwakilan Puteri.
Pendaftaran wakil.
Ketua Pemuda baru, Iskandar bersama kepemimpinan lama.
Kepemimpinan lama Wanita.
Pendaftaran wakil puteri.

Unisza perhebat promosi

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus memperhebat promosi dalam usaha mengantarabangsa institusi berkenaan ke seluruh dunia.

 Baru-baru ini, UniSZA berkunjung ke China dan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan tiga universiti iaitu Guangzhou University, Jinan University dan Beihang University.

 MoU itu ditandatangani Presiden Guangzhou University Prof. Yu Jian She, Presiden Jinan University, Prof. Jun Hu dan Presiden Beihang University, Prof. D. Jiang Tao manakala UniSZA diwakili Naib Canselornya, Prof. Dr. Yahaya Ibrahim.

 Majlis menandatangani MoU di Guangzhou itu turut disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom; Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Profesor Dr. Amran Ahmed dan Pengarah Kampus Antarabangsa UniSZA Profesor Dr. Mohd Zambri Jaafar.

Menurut Yahaya, MoU itu membuka jalinan kerjasama lebih luas termasuk melibatkan aktiviti penganjuran bengkel dan seminar di peringkat antarabangsa dan penyelidikan mengenai isu-isu semasa yang akan dipersetujui dari semasa ke semasa.

 "Selain itu, MoU berkenaan turut melibatkan pertukaran pelajar, staf akademik, profesor pelawat antara institusi-institusi tersebut serta kerjasama lain dalam bidang akademik," katanya kepada pemberita.

Menurut Yahaya, melalui perjanjian persefahaman itu UniSZA dapat mengembangkan lagi sistem pengajian yang sedia ada selain mempromosi pengajian kepada masyarakat luar terutama warga China.

"Usaha ini juga bagi mengukuhkan UniSZA sebagai sebuah universiti yang mempunyai keunggulan komparatif dan berdaya saing setaraf dengan universiti-universiti lain.

"Malah, kerjasama ini turut menjadi pemangkin dalam usaha meningkatkan kualiti akademik dalam kalangan pensyarah dan pelajar di UniSZA," katanya.

 

11 October 2013

102 PELAJAR SMKAKA TERIMA SIJIL TAMAT PERSEKOLAHAN

OLEH : CHE KU ZAINAL CHE KU MUDA



Seramai 102 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Abang (SMKAKA) di sini menerima Sijil Tamat Persekolahan pada Majlis Graduasi yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Dungun di sini semalam.

Daripada jumlah itu seramai 65 pelajar perempuan dan 37 pelajar lelaki menerima sijil tersebut daripada Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Dungun, Che Mohd Yusri Che Muda sebelum mereka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Semasa berucap pada majlis perasmian, Che Mohd. Yusri mengingatkan kepada para pelajar apabila mereka mendapat tawaran belajar ke peringkat universiti atau mana-mana Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kelak, mereka hendaklah menunjukkan tauladan serta tingkah laku yang baik sejajar dengan didikan yang mereka perolehi semasa di SMKAKA.

“Di SMKAKA ini kita dapati ramai pelajar lelaki dan perempuan yang cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk bidang pelajaran, aktiviti sukan, pembuatan kapal terbang dan sebagainya dan saya amat berharap agar mereka menjadi ikutan atau “role model” kepada generasi selepas mereka.


Di samping itu, mereka bukan sahaja mendapat didikan secara ilmiah malahan turut ditekankan adalah mata pelajaran sains dan teknologi yang berteraskan konsep Islam yang syumul,” katanya

 Che Mohd. Yusri seterusnya berkata, beliau yakin ramai di kalangan pelajar SMKAKA akan mendapati cemerlang pada keputusan peperiksaan SPM nanti sekali gus ditawarkan memasuki IPTA sama ada di dalam atau di luar Negara.


Jelasnya, bermula dari situ hasrat kerajaan untuk melahirkan garaduan yang berpendidikan serta berpengetahuan dalam bidang Sains dan Teknologi Islam dapat direalisasikan.

 

RAKYAT HIDUP MEWAH DI BAWAH BN

OLEH : CHE KU ZAINAL CHE KU MUDA



Rakyat di negara ini patut bersyukur kerana dapat hidup mewah berbanding negara-negara di Rantau Asia kerana kebijaksanaan Kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara serta berjaya mengawal harga barangan daripada dimanipulasi mereka yang tidak bertanggungjawab.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hasan Malek berkata, hasil tinjauan mendapati rata-rata rakyat hidup dengan aman serta mewah meskipun hanya ada beberapa peratus sahaja yang hidup di bawah paras kemiskinan.


Beliau berkata, bekalan barangan seperti gula, tepung gandum, susu, sayur-sayuran dan sebagainya amat mencukupi dan rakyat tidak perlu risau dengan kenaikkan harga barang kerana KPDNKK sentiasa memantau serta mengawal barangan terbabit

 “Kita tidak pernah dengar rakyat di negara kita tidak dapat makan kerana ketiadaan sumber barangan asasi seperti beras, gula, susu, sayur-sayuran dan sebagainya kerana pihak kerajaan sentiasa prihatin dan ia amat mencukupi dengan jumlah penduduk yang ada.

“Oleh itu, kita semua patut bersyukur kerana dapat hidup aman serta mewah tanpa sebarang gangguan meskipun ada beberapa kes-kes terpencil kerana mereka tidak mahu berusaha,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Program Mesra KPDNKK Bersama Masyarakat di Mayang Sari Resort di sini semalam.

Pada program tersebut, seramai kira-kira 100 orang yang terdiri daripada penggiat masyarakat bagi kawasan Parlimen Dungun termasuk Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Wira Rosli Mat Hassan turut hadir. Berhubung dengan kenaikkan harga barangan,

Hasan menegaskan bahawa orang ramai tidak perlu risau dan jika mereka dapati ada barangan yang dinaikkan oleh peniaga mereka boleh membuat aduan terus kepada ke Pusat Aduan KPDNKK di seluruh negara.

Jelasnya, para pegawai KPDNKK sentiasa memberi kerjasama kepada para pengguna yang memerlukan bantuan termasuk membuat aduan mengenai kenaikan harga barang kawalan dengan sesuka hati oleh sama ada peniaga atau pembekal.

 “Pihak Kementerian juga mempunyai tugas yang berat dan terpaksa berhadapan dengan mereka yang tidak bertanggungjawab yang bertindak sebagai penyeludp bagi menyeludup barangan tertentu.

 “Bagaimanapun, KPDNKK ada Pusat Aduan dan orang ramai boleh membuat aduan terus pada bila-bila masa sahaja dan pihak kami amat berterima kasih di atas kerjasama yang ditunjukkan oleh para pengguna,” jelasnya.

Mesyuarat Pemilihan Pemuda dan Puteri UMNO esok.

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Bendera UMNO mula di pasang.
SETIU: Seramai kira-kira 1000 wakil Pemuda dan Puteri dari Cawangan UMNO seluruh Setiu akan hadir di Mesyuarat Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Setiu yang akan diadakan di Dewan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD)Setiu, Putera Jaya, pagi esok.

Persidangan yang dijangka diadakan jam 9 pagi itu didahului dengan ucapan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Setiu, Kazan Che Mat sebelum mesyuarat dan pemilihan diadakan.

Setiausaha UMNO Bahagian Setiu, Ismail Saamah berkata, sehingga petang ini, persiapan untuk mengadakan mesyuarat pemilihan sayap UMNO itu berjalan lancar dan majlis akan diadakan mengikut jadual.

"Seramai 640 wakil pemuda cawangan dan kira-kira 500 wakil puteri akan hadir di mesyuarat yang akan diadakan di dewan PPD itu," katanya.

Mesyuarat itu menyaksikan pertandingan tiga jawatan utama iaitu Naib Ketua Pemuda iaitu antara Rosmadi Nasir (Langkap) dan Zokri Osman (Permaisuri).

Manakala Ketua Puteri pula pertandingan antara Nik Ana Azlina Nik Soh (Jabi) dan Nur Fuzilawati Jusoh (Permaisuri). Naib Puteri ialah antara  Norhaslinda Yusof dan Mayu Azlina Ismail.

Jawatan Ketua Pemuda tiada pertandingan kerana Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar, akan diumunkan memenangi jawatan itu esok kerana beliau adalah calon tunggal untuk merebut jawatan tertinggi pemuda UMNO Setiu itu.



Sekeluarga dipilih memimpin UMNO peringkat cawangan


Yaacob bersama isteri dan anaknya.

Oleh: Mohammad Ishak

Ketika ahli UMNO lain  berebut untuk menjadi pemimpin parti sekeluarga dari Kampung Tok Motong, dekat Jertih, mempunyai keistimewaan tersendiri apabila penduduk khasnya ahli  cawangan memilih sekeluarga untuk menjadi ketua mereka

Ini terbkti apabila semua jawatan utama parti peringkat cawangan dimonopoli sepenuhnya oleh keluarga berkenaan dengan didahului jawatan Ketua Cawangan,Ketua Wanita,Timbalan Ketua Cawangan, Ketua Penerangan dan Ketua Pemuda.

Apa tidaknya, selain Yaakob Abdul Rahman, 77,yang menjadi ketua cawangan Kampung Tok Motong sejak 1968, isterinya,Wan Minah Wan Leh,66, menjadi Ketua Wanita Cawangan, manakala tiga lagi anak lain turut memegang jawatan penting peringkat cawangan. Tiga lai anak Yaacob yang memegang jawatan ialah, anak lelaki sulong, Rosli,48, menjadi Ketua Penerangan, Abdul Halim,, 43, Timbalan Ketua Cawangan manakala seorang lagi,Abdul Rahman,35, dipilih sebagai Ketua Pemuda Cawangan.

Menurut Yaacob, keluarganya bukan berhasrat untuk menguasai parti berkenaan sebaliknya pada setiap kali diadakan mesyuarat pemilihan jawatankuasa baru penduduk khasnya ahli Umno kampung itu mencadangkan keluarnya memimpin parti.

“Ketika semua tempat sibuk dengan perebutan jawatan sewaktu diadakan pemilihan jawatankuasa baru pada Julai lalu, saya, isteri dan tiga anak lain masih diberi kepercayaan untuk memimpin parti,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Menceritakan resepi kejayaan itu,Yaacob berkata, dia sendiri tidak tahu kenapa penduduk kampung itu sering mengangkat keluarganya sebagai ketua.

Bagaimanapun,katanya, perkara penting yang diamalkan ialah beliau sentiasa mengutamakan kepentingan ahli parti daripada menjaga keluarganya terutama dalam memajukan kampung dan pengagihan projek untuk masyarakat.

Beliau yang pernah menjadi Pengerusi JKKK selama 25 tahun dan bersara pada 2009 bertanggungjawab memajukan kampung itu sehingga kini muncul antara kampung terbaik dalam aspek pembangunan pertanian.

Kejayaan beliau memajukan kampung membolehkan Kerajaan Negeri memilihnya untuk menunaikan fardu haji pada 2008 bagi mengenang jasa dan khidmat cemerlang memajukan kampung.

Selain menjadi Ketua Cawangan,Yaacob juga masih memegang beberapa jawatan penting lain dalam komuniti termasuk Pengerusi PIBG Sekolah Kebangsaan Tok Motong, Ahli Lembaga Pengarah LPP Kawasan Pelagat dan beberapa jawatan lain.