Halaman

12 December 2013

50 sukarelawan APMT sertai misi bantuan banjir

Gambar-gambar oleh Zulkipli Putra

Seramai 50 sukarelawan menyertai misi bantuan kemanusiaan mangsa banjir di Kemaman anjuran Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT), semalam.




Sukarelawan yang terdiri daripada Skuad Cakna Banjir APMT itu mengambil inisiatif bergotong-royong membersihkan masjid dan kawasan perumahan penduduk yang teruk terjejas akibat banjir.





Misi bantuan sehari itu menfokus kepada kawasan perumahan di Kampung Mak Chili dan Masjid Mak Chili, Kemaman.

Mangsa banjir mengucapkan terima kasih dan melahirkan rasa syukur dengan keprihatinan para sukarelawan.







 

Pungutan zakat Maidam cecah RM97 juta sehingga November

Oleh: Noraini Jusoh

Jumlah pungutan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sehingga November lalu berjumlah RM97,312,454 berbanding RM86 juta sepanjang tahun lepas.

Pengarah Jabatan Baitulmal Maidam, Mohd Noor Mohamad (gambar) berkata, sasaran untuk memungut sebanyak RM120 juta tahun ini dijangka akan membuahkan hasil berikutan sehingga kini pungutan zakat oleh Maidam sudah melebihi RM10 juta berbanding sepanjang tahun lepas.

"Saya yakin angka RM120 juta dapat dicapai kerana kebiasaannya dua minggu terakhir bulan Disember merupakan 'masa kemuncak' bayaran zakat yang akan dibuat oleh orang ramai.

“Bagi memudahkan orang ramai, Maidam akan membuka kaunter pungutan zakat pada dua minggu terakhir, tujuh hari seminggu mulai 8.30 pagi hingga 4.30 petang dan pada hari terakhir, kaunter akan dibuka sehingga 12 tengah malam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis penyerahan Zakat Perniagaan oleh Bank Rakyat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) di Istana Syarqiyyah, Chendering, semalam.

Pada majlis itu, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menerima wang zakat berjumlah RM1.078 juta daripada Bank Rakyat.

Menurut Mohd Noor, daripada RM97 juta zakat yang berjaya dipungut Maidam itu, sebanyak RM51 juta telah diagihkan kepada golongan asnaf yang layak seperti fakir miskin, mualaf dan fisabilillah.

Katanya, untuk tahun ini pungutan terbesar zakat oleh Maidam datang daripada zakat pendapatan sebanyak RM38 juta diikuti perniagaan (RM29 juta) serta simpanan (RM17 juta).

Dalam pada itu katanya, bagi meringankan beban golongan asnaf yang dilanda musibah banjir baru-baru ini, Maidam juga akan menimbangkan jumlah agihan yang akan diberikan kepada fakir miskin berdasarkan keadaan dan keperluan mereka pada waktu pasca (selepas) banjir.



YPU terima RM130 juta

 Oleh: Suriati Ali 



 Kerajaan negeri memperuntukan RM130 juta sebagai usaha menyokong Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menjayakan Pelan Pembagunan Lima Tahun, mulai tahun depan.

 Menteri Besar. Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata dia menyambut baik perlaksanaan pelan itu di mana mampu merancakkan lagi program pembangunan keusahawanan, melahirkan usahawan lebih berwibawa dan komited pada perniagaan masing-masing.

 Katanya, menjadi kelaziman, setiap syarikat ternama pasti mempunyai perancangan terperinci untuk melebarkan sayap perniagaan lebih meluas.

“Usahawan yang baru bertatih pula perlu celik untuk melihat semua itu, dan bukannya bertindak tutup perniagaan dan mengambil pendekatan hanya lihat orang lain berjaya.

 “Dengan perancangan diri, kita dapat menentukan banyak perkara, termasuk bijak menentukan masa untuk mencapai sesuatu dan mengkaji pencapaian syarikat dari masa ke semasa,” katanya.

 Beliau berkata demikian dalam teks yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi &Kepenggunaan Negeri, YB Encik Roslee Daud, pada majlis Anugerah Usahawan Terengganu, di Primula Hotel, Kuala Terengganu, malam tadi.

Pada majlis itu., Pengarah Urusan Desa Murni Sd Bhd, Haji Shuhaimi Embong diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Usahawan 2013.

Dato’ Haji Ahmad turut memberitahu proses melengkapkan diri dan memperbaiki pencapaian perlu dilakukan sepanjang masa. Budaya sentiasa belajar perlu diterapkan dan tapap pencapaian perlu dipertingkatkan.

“Perlu ingat tiada perniagaan boleh mengekalkan kecemerlangan dengan hanya mengamalkan kaedah dan sistem yang sama.

 “Kita perlu inovatif dan kreatif selain perlu mempelajari apa yang terbaik daripada sebarang kaedah, serta bijak menyesuaikannya untuk dijadikan amalan perniagaan,”katanya.

 

Jalan Durian Mentangau- Ketengah Jaya masih ditutup.

Oleh: Aminudin Ismail.
Gambar oleh Zulkipli Putra

KUALA TERENGGANU: Walaupun banjir semakin surut di daerah Dungun namun Jalan Durian Mentangau ke Ketengah Jaya masih ditutup, sehingga pagi ini. (12.12,2013)

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun ketika dihubungi sebentar tadi (8 pagi) memberitahu terdapat dua jalan yang masih ditutup kepada semua kenderaan di daerah itu.

Keadaan banjir di Jalan Durian Mentangau-Ketengah Jaya 
"Selain jalan Durian Mentangau- Ketengah Jaya, terdapat satu lagi jalan yang masih ditutup tetapi jalan yang satu lagi itu hanya jalan ke ladang iaitu Jalan Ladang Sungai Emas, terletak di di Bukit Besi manakala semua jalan lain yang dinaiki air sebelum ini sudah boleh dilalui," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, sehingga pagi ini seramai 1024 mangsa banjir masih lagi berada di 12 pusat pemindahan di seluruh daerah itu.

"Jumlah mangsa yang berpindah di tempat pemindahan semakin berkurangan berikutan banjir yang semakin pulih dan jumlah hujan yang semakin berkurangan di beberapa tempat di daerah ini sejak semalam.

"Bagaimanapun anggota keselamatan dan penyelamat yang bertugas sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi banjir," katanya.

 

Guntung Luar paling aman di Setiu/JKKK Perlu Aktif

DSP Abdul Rahman.
Oleh: Aminudin Ismail. 

BANDAR PERMAISURI: Kampung Guntung Luar, dekat sini adalah sebuah kampung yang paling aman di di daerah ini kerana tiada jenayah besar berlaku di kampung itu.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Abdul Rahman Raja Mohamed berkata, melalui carta jenayah di daerah Setiu, menunjukan Kampung Guntung Luar tidak tercatat sebarang kejadian jenayah besar yang membimbangkan.

“Ini adalah satu contoh perlu diikuti oleh Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang lain. Kejayaan JKKK Kampung Guntung Luar ini mungkin kerana mereka lebih aktif,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Rahman menyarankan supaya setiap JKKK di daerah ini lebih mengetahui segala selok belok penjenayah yang melakukan kegiatan jenayah mereka di daerah ini dengan menyalurkan segala maklumat kepada pihak Polis.

"Pihak Polis tidak akan tahu samada sesuatu kawasan atau kampung itu damai atau tidak tanpa maklumat daripada orang ramai. Saya menyarankan supaya setiap JKKK lebih aktif dalam usaha membantu Polis menangani kegiatan jenayah ini,” katanya.

 

11 December 2013

SIDANG DUN: UCAPAN BERNAS GHAZALI TAIB DAN BERIMPAK KEPADA PEMBANGKANG

Laporan: Ruslan Abdul Rahman 
 Sekolah Imtiaz Terengganu yang menggabungkan kecemerlangan akademik dan sekaligus penguasaan ke atas ilmu agama mendapat pujian dan pengiktirafan banyak pihak, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas, YB Ghazali Taib.
  Katanya, baru-baru ini rombongan Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Mukhriz Tun Mahathir telah membuat lawatan ke dua buah sekolah Imtiaz Terengganu amat mengkagumi sistem pembelajaran di sekolah berkenaan dan bercadang membawa balik contoh itu untuk diwujudkan juga di negeri Kedah.
  Ini membuktikan bahawa, pendidikan di Terengganu telah mencapai kemajuan yang begitu hebat dan menjadi contoh kepada pihak lain, katanya.
 Mengenai e-Book beliau berkata, sepatutnya semua pihak termasuk pembangkang memandangnya secara positif kerana itu adalah usaha untuk membina generasi masa depan yang sesuai dengan zamannya.



 Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu,Kawasan Ajil berkata demikian, dalam sessi penggulungan di pihak kerajaan, di Persidangan Dewan Undangan Negeri (Bajet) yang masuk hari ketiga pada hari ini (11 Disember).
 “Biarpun betapa mahalnya yang dibelanjakan untuk tujuan pembelian dan pembelajaran termasuk e-Book, lebih mahal lagi masa depan generasi kita yang cemerlang dan menepati kehendak zaman di masa akan datang,” katanya walaupun mendapat gangguan oleh beberapa wakil pembangkang yang kurang menyenangi dengan ucapannya yang agak sinis dan berimpak.




SIDANG DUN: HOSPITAL DUNGUN MEI 2017

Laporan: Ruslan Abdul Rahman

Hospital Daerah Dungun yang baru akan mula dibina mulai awal tahun hadapan dan dijangka boleh siap pada Mei 2017, demikian diberitahu oleh Adun Jerteh,
 YB Haji Mohd Pehimi Yusof selaku Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri.
 Dengan itu katanya, masyarakat di daerah Dungun usahlah khuatir dengan kemudahan yang bakal mereka nikmati nanti, katanya sewaktu berucap pada sessi penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (Bajet) petang ini (11 Disember).
Beliau yang baru sahaja dilantik menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri menggantikan Allahyarham Dr. Haji A Rahman Mokhtar turut meminta ahli dewan sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham sebelum beliau meneruskan ucapan.
 YB Haji Pehimi juga memberitahu bahawa Tabung Pesakit Kronik akan diteruskan dengan peruntukan RM10 juta setahun bagi membantu mengurangkan bebanan golongan yang tidak berkemampuan di negeri ini.  Pada tahun ini, katanya seramai 1,004 orang pesakit telah diberi bantuan tersebut, manakala pada tahun 2012 ialah seramai 990 pesakit dibantu melalui tabung itu.
 Dalam ucapan sulungnya di Dewan Undangan Negeri sebagai Exco Kerajaan, beliau juga memberitahu sebuah pejabat baru Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Daerah Hulu Terengganu akan dibina dengan peruntukan RM1 juta.
 “Kita merancang untuk membina di kesemua deerah bangunan pejabat pentadbiran YPK kerana masyarakat banyak mendapat manfaat dari khidmat agensi ini berkaitan kesejahteraan keluarga dan kehidupan,” katanya kepada dewan.
  Menyentuh tentang kejadian banjir, beliau menjelaskan pihak kerajaan sememangnya telah membuat persiapan bagi menghadapinya, tetapi kejadian banjir besar, khususnya di Kemaman adalah di luar jangkaan.  Biarpun timbul bermacam-macam perkara suka-duka, ada yang memuji , ada yang mengeji, ada yang bersetuju dan tidak setuju, ada yang puas hati dan ada juga yang tidak puas hati, tetapi yang pasti pihak kerajaan dan agensi-agensinya dengan bantuan semua pihak telah melakukan yang terbaik dan sedaya upaya untuk membantu mangsa-mangsa banjir dengan pelbagai pendekatan dan kemudahan.

SIDANG DUN: Tingkat kemudahan infrastruktur di Pekan Kuala Besut

Oleh; Esah Abdullah 

Kerajaan negeri diberitahu masih terdapat banyak ruang-ruang yang perlu diisi dalam usaha menarik kedatangan pelancong ke negeri ini khususnya ke Pulau Perhentian, Besut.

YB Tengku Zaihan Cik Ku Abdul Rahman (BN- Kuala Besut) berkata langkah perlu diambil untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur di Pekan Kuala Besut yang merupakan pintu masuk utama para pelancong untuk ke Pulau Perhentian.

"Beberapa kemudahan termasuklah pembinaan stesen bas yang lebih moden dan pemasangan mesin ATM mampu memberi keselesaan dan keyakinan orang ramai," katanya dalam sesi Perbahasan Bajet 2014 di Sidang Dewan Undangan Negeri, Kuala Terengganu.

Katanya, Pulau Perhentian merupakan tempat tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara yang datang menjalankan pelbagai aktiviti termasuk menyelam yang mungkin akan mendatang kerosakan kepada khazanah alam semula jadi yang amat bernilai di kawasan itu.

Oleh itu katanya, pihak terbabit perlu mengadakan lebih banyak program untuk memberi kesedaran kepada masyarakat menjaga dan mengekalkan ketahanan khazanah alam dalam jangka masa panjang agar dapat diwarisi generasi akan datang.

Beliau juga berharap projek Industri Kecil dan Sedehana (IKS) diberi ruang seluas-luasnya kepada anak tempatan untuk menghasilkan produk-produk berasaskan ikan dan sebagainya bagi meningkatkan pendapatan keluarga.

Tambahnya, sektor pertanian khususnya penanam padi perlu diberi perhatian serius dan menjadikan ia sebagai sumber pendapatan utama para petani yang mana beras merupakan makanan asasi rakyat di negara ini.
 

SIDANG DUN: Minta bayaran bil utiliti dikecualikan

Oleh: Suriati Ali 

 Kerajaan Terengganu diminta mengecualikan bayaran bil utiliti dan sewaan bangunan kedai kepada mana-mana penduduk yang terjejas teruk akibat bencana banjir.

YB Mohd Iskandar Jaafar (Jabi-BN) pada sesi perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini berkata perkara itu sewajarnya dipandang serius kerana banyak kerugian terpaksa ditanggung mangsa banjir.

“Jika bil utiliti seperti bayaran kadar air, elektrik dan sewaan bangunan kedai dapat dikecualikan selama sebulan, sudah tentu mampu melegakan mereka,” katanya.

 Menurutnya, dia bersimpati terhadap mangsa banjir di Pantai Timur dan sempat juga hadir ke beberapa lokasi permindahan, termasuk di Kemaman.

 “Apa yang didapati, bekalan makanan dan bantuan yang diagihkan tidaklah seburuk seperti yang digambarkan pembangkang melalui laman sesawang dan `facebook’.

 “Saya minta mana-mana pihak supaya jangan jadikan bencana banjir sebagai isu politik, hulur bantuan biar ikhlas.. jangan pula, bila sudah bagi bantuan, masuk dalam facebook, kutuk kerajaan tidak ambil cakna.

“Perkara itu tidak betul, jika nampak kekurangan, marilah kita sama-sama bantu melegakan kesedihan mereka,” katanya.

 YB Mohd Iskandar turut berharap supaya kerajaan negeri menangguhkan dahulu cadangan menaikkan kadar yuran taska milik Yayasan Pembangunan Keluarga sebanyak RM50 daripada jumlah asal.

 “Jumlah itu cukup membebankan, kerana pada masa sama keluarga yang terlibat perlu memikirkan keperluan lain seperti bayaran yuran asrama, bayaran kemasukan alam persekolahan dan membeli barang kelengkapan sekolah,” katanya.

 Katanya, dia juga berharap kerajaan menekankan kepada praktikal sesuatu ilmu yang diajar tanpa terlalu bergantung kepada kefahaan teoritikal semata-mata, khususnya dalam mata pelajaran pendidikan Islam.

“Usaha itu penting bagi membantu pelajar supaya benar-benar memahami kewajipan seorang muslim seperti solat, puasa dan zakat,” katanya

 

SIDANG DUN : Hanya dua daripada sembilan sekolah swasta berdaftar

Oleh: Aida Abd Rahman

Kegagalan sekolah swasta mematuhi piawaian yang ditetapkan Kementerian Pendidikan menyebabkan permohonan pusat pendidikan terbabit untuk berdaftar di bawah kementerian itu tidak dapat diluluskan sekali gus tidak layak memperolehi sebarang bantuan kerajaan negeri.

YB Ghazali Taib (Ajil-BN) berkata setiap sekolah swasta tertakluk di bawah Akta Pendidikan Negara yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan untuk memastikan wujud keseragaman termasuk dalam sistem kokurikulumnya.

 “Sebelum satu-satu sekolah diluluskan pendaftarannya, perkara atau piawaian yang perlu ada sekolah itu mesti selamat maksudnya mendapat kelulusan pembinaan sekolah dan mempunyai ciri keselamatan bagi mengelak kemungkinan berlaku kebakaran dan sebagainya.

“Reka bentuk sekolah juga perlu diambilkira melibatkan infrastruktur dan kemudahan yang boleh beroperasi sebagai sekolah dan mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif untuk pelajar,” katanya ketika menjawab soalan lisan YB Satiful Bahari Mamat (Paka-Pas), di Persidangan DUN (hari ketiga) di Wisma Darul Iman, hari ini.

YB Ghazali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri menjawab soalan YB Satiful mengenai bentuk bantuan dan sokongan diberikan kerajaan negeri terhadap sekolah swasta.

Katanya, sekiranya sekolah swasta berkenaan memenuhi semua piawaian berkenaan, maka tidak timbul isu birokrasi untuk memperolehi kelulusan pendaftaran yang akan melayakkan pusat pendidikan itu menikmati bantuan kerajaan.

Tambah beliau lagi, daripada sembilan sekolah swasta di seluruh Terengganu, hanya dua yang berdaftar dan menerima bantuan daripada kerajaan negeri , iaitu Pusat Pendidikan Yayasan Terengganu (YT)Kuala Berang dan Besut.

Menurutnya, tujuh lagi sekolah swasta yang tidak berdaftar ialah Sekolah Rendah Islam (SRI) Al-Amin, Kemaman; SRI Al-Amin, Dungun; Sekolah Menengah Agama (SMA) Kampung Laut, SMA Islam Al-Amin Kemaman dan SMA Islam Al-Amin, Dungun.

Katanya, semua sekolah berkenaan turut melaksanakan peperiksaan UPSR, PMR dan SPM sebagaimana sekolah di bawah kementerian.

Dalam pada itu, YB Ghazali berkata, kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan sejumlah RM500,000 bagi membekalkan alat pemadam api di semua sekolah seluruh negeri termasuk sekolah swasta sebagai langkah keselamatan.