Sekolah Imtiaz Terengganu yang menggabungkan kecemerlangan akademik dan sekaligus penguasaan ke atas ilmu agama mendapat pujian dan pengiktirafan banyak pihak, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas, YB Ghazali Taib.
Katanya, baru-baru ini rombongan Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Mukhriz Tun Mahathir telah membuat lawatan ke dua buah sekolah Imtiaz Terengganu amat mengkagumi sistem pembelajaran di sekolah berkenaan dan bercadang membawa balik contoh itu untuk diwujudkan juga di negeri Kedah.
Ini membuktikan bahawa, pendidikan di Terengganu telah mencapai kemajuan yang begitu hebat dan menjadi contoh kepada pihak lain, katanya.
Mengenai e-Book beliau berkata, sepatutnya semua pihak termasuk pembangkang memandangnya secara positif kerana itu adalah usaha untuk membina generasi masa depan yang sesuai dengan zamannya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu,Kawasan Ajil berkata demikian, dalam sessi penggulungan di pihak kerajaan, di Persidangan Dewan Undangan Negeri (Bajet) yang masuk hari ketiga pada hari ini (11 Disember).
“Biarpun betapa mahalnya yang dibelanjakan untuk tujuan pembelian dan pembelajaran termasuk e-Book, lebih mahal lagi masa depan generasi kita yang cemerlang dan menepati kehendak zaman di masa akan datang,” katanya walaupun mendapat gangguan oleh beberapa wakil pembangkang yang kurang menyenangi dengan ucapannya yang agak sinis dan berimpak.