Halaman

08 December 2013

Mangsa banjir ceria dikunjungi pemimipin

Oleh: Amirullah Othman

Kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan berangan, YB A Latiff Awang ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Puteh, Marang memberi keceriaan kepada mangsa banjir .

YB A Latiff yang juga Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi Dan Teknologi Maklumat negeri turun padang bagi berkongsi derita dan juga melihat keperluan semasa yang perlu disediakan kepada mangsa berkenaan.

 “Saya ucapkan takziah atas apa yang berlaku dan meminta mangsa-mangsa yang terlibat dalam bencana banjir ini bersabar dan menerima ini sebagai ujian dari Allah swt.


“Sebagai wakil rakyat, saya sedaya upaya akan menjaga kebajikan mangsa banjir di seluruh Parlimen Marang dan bukan hanya tertumpu di DUN Pengkalan Berangan sahaja. Oleh itu, semua mangsa banjir tidak perlu risau dan susah hati kerana mereka bukan keseorangan, banyak pihak-pihak bersama dalam menghadapi bencana banjir ini,” katanya.

Beliau turut menasihati kepada semua yang terlibat dalam bencana banjir ini supaya menjaga keselamatan diri memandangkan dijangka akan ada gelombang kedua tidak lama lagi.

YB A Latiff turut menyampaikan sumbangan peribadi dalam kunjungan itu.

Selain itu, Jabatan dan agensi yang turut membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah Marang, Pejabat Daerah Marang, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah Marang, RELA Daerah Marang dan pelbagai agensi kerajaan yang lain serta NGO.

Sehingga kini, terdapat empat pusat pemindahan di Marang yang melibatkan 67 mangsa daripada 19 keluarga.

Antaranya di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Puteh, Merchang ( 13 keluarga, 37 mangsa), Kampung Temala ( tiga keluarga, 19 mangsa) dan SK Kampung Jenang (dua keluarga, tujuh mangsa).