Halaman

10 December 2013

APMT lancar Skuad Cakna Banjir

Oleh: Noraini Jusoh

Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) melancarkan Skuad Cakna Banjir APMT bagi membantu meringankan beban mangsa banjir di seluruh negeri ini.
Pengarah APMT, Roshali Taha berkata, skuad itu dianggotai oleh pegawai dan kakitangan APMT yang berperanan sebagai sukarelawan bagi membantu penduduk yang terjejas akibat bencana banjir yang begitu luar biasa kali ini.

Katanya, pejabat APMT di semua 32 DUN seluruh negeri akan bertindak sebagai pusat pengumpulan barangan yang disumbangkan oleh orang ramai.

 “Bermula dari 8 hingga 12 Disember ini, orang ramai dipelawa menghulurkan apa jua sumbangan seperti pakaian, air minuman bersih, makanan dan keperluan harian di Pejabat APMT terdekat.

 “Kita akan agihkan bantuan berkenaan kepada yang memerlukan dengan harapan tiada mangsa banjir yang tercicir daripada menerima bantuan, ” katanya.

Tambah Roshali, walaupun air telah surut skuad berkenaan akan menghantar sukarelawan ke kawasan kampung, perumahan, dan sebagainya.

“Masa inilah ramai sukarelawan diperlukan untuk membantu mangsa banjir membersihkan dan membaiki semula rumah, masjid, balai raya atau surau yang telah rosak”, ujarnya.