Halaman

09 December 2013

SIDANG DUN: Terengganu sedia Wifi percuma, mulai tahun depan

Oleh: Suriati Ali, Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

 Kerajaan negeri akan menyediakan kemudahan jalur lebar tanpa wajar (Wifi) secara percuma kepada masyarakat seluruh Terengganu termasuk mereka yang tinggal di kawasan pedalaman, mulai tahun depan.

Kemudahan membabitkan peruntukan RM30 juta itu selaras dengan kehendak penduduk, terutama golongan muda yang sentiasa peka terhadap perkembangan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) terkini.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata usaha itu dianggap penting kerana akses internet kini sudah menjadi keperluan bagi mendapat ilmu dan maklumat secara talian.

Katanya, mudah juga bagi pelabur dan pelancong untuk mendapat bahan terkini ketika berada di satu-satu lokasi.

“Buat permulaan, kita akan mengutamakan capaian wifi di kawasan tumpuan ramai, seperti destinasi pelancongan, lapangan terbang dan hentian bas sebelum diperluaskan secara berperingkat-peringkat ke kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai membentangkan Belajawan (Bajet) 2014, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, Bajet 2014 yang membabitkan peruntukan RM2.2 bilion antara yang tertinggi jika dibandingkan dengan negeri lain.

"Kita sanggup belanja besar kerana mahu memastikan rakyat hidup selesa dengan kemudahan yang disediakan terutama berkaitan pembangunan, perumahan, pendidikan dan kebajikan,” katanya.