Halaman

13 December 2013

Pejabat Daerah Besut senarai 20 JKKK terima Anugerah Kecemerlangan 2013



Oleh: Mohammad Ishak

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diminta peka kepada masalah yang dihadapi penduduk dan menyelesaikan secara professional dalam usaha membantu kerajaan meningkatkan kecemerlangan pentadbiran.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh berkata, JKKK sebagai jentera utama kerajaan di peringkat komuniti berperanan membantu pelbagai perancangan kerajaan untuk kemajuan di kampung masing-masing.

Katanya, kepemimpinan jawatankuasa berkenaan juga perlu selari dengan dasar kerajaan bagi mempastikan rakyat menerima baik setiap projek yang dilaksanakan pihak terbabit.

Menurutnya, pihaknya sentiasa membuat pemantauan terhadap JKKK bagi memastikan organisasi itu dihormat masyarakat menerusi pelbagai aktiviti dan rancangan pembangunan yang dilaksanakan memberi manfaat kepada orang ramai.

 “Antara fokus yang diberikan termasuklah menghargai usaha yang dilakukan JKKK dengan memberikan anugerah kecemerlangan pada setiap tahun kepada JKKK terpilih sebagai galakkan untuk mereka berkhidmat,” katanya pada maliss Anugerah Cemerlang Daerah Besut, di sini semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman merasmikan majlis itu dan menyampaikan anugerah kepada JKKK terpilih.

Pada majlis itu 20 JKKK terbaik mewakili lima DUN iaitu Kuala Besut, Kota Putera, Jertih, Hulu Besut dan Jabi dipilih sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan masing-masing.

Sementara itu, Tengku Zaihan berharap, semua pengerusi dan ahli jawatankuasa JKKK daerah itu terus berusaha memberi khidmat kepada masyarakat dan sentiasia mendampingi komuniti bagi mengetahui masalah yang mereka hadapi.

Katanya, setiap aduan yang diterima penduduk henfdaklah disalurkan kepada pihak berwajib termasuk ADUN di kawasan masing-masing supaya tindakan dapat diambil pihak berkenaan.

Beliau memuji sikap dan tanggungjawab pemimpin JKKK daerah itu kerana mamu menjadi contoh sehingga dipilih sebagai penerima anugerah berkenaan dan satu pengiktirafan kerajaan terhadap JKKK terbabit.