Halaman

11 December 2013

SIDANG DUN: Kurangkan kebergantungan bekalan sayur luar Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri akan memastikan keseluruhan 694 hektar kawasan yang sesuai untuk penanaman sayur di negeri ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh petani supaya tidak lagi bergantung kepada bekalan dari luar Terengganu.

Sehingga kini, hanya 53 peratus sahaja kawasan itu digunakan bagi menanam sayur-sayuran termasuk di kawasan Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TPKM) setiap daerah.

YB Nawi Mohamad (Hulu Besut-BN), berkata pengeluaran sayur-sayuran negeri kini hanya mampu memenuhi keperluan 43 peratus penduduk menyebabkan kebergantungan 20 metrik tan bekalan bahan mentah itu dari luar khususnya dari Pasar Borong Kuala Lumpur dan Wakaf Che Yeh, Kelantan.

“Kerajaan tidak bercadang untuk menambah kawasan pengeluaran baru sayur-sayuran di seluruh Terengganu. Ini kerana kawasan sedia ada jika ditanam sepenuhnya oleh penanam, akan dapat memenuhi permintaan seluruh penduduk Terengganu.

“Oleh yang demikian, Terengganu masih membeli sayur dari luar kerana penanam sayur tidak memanfaatkan kawasan itu. Insya-Allah tahun depan kita akan cuba membuat kempen supaya kawasan terbiar dan kawasan yang sedia ada digunakan sepenuhnya bagi menanam sayur,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan YB Bazlan Abd Rahman (Batu Rakit-BN), di persidangan DUN (hari ketiga), di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian & Industri Asas Tani Dan Perusahaan Perladangan & Komoditi negeri berkata, bermula tahun depan kerajaan akan terus menggalakkan budaya menanam sayur yang boleh dimakan sendiri di kalangan penduduk negeri ini menerusi pelbagai inisiatif termasuk kempen `Jom Kita Tanam Sayur’.

 “Ini berdasarkan apa yang diperkenalkan oleh Menteri Besar ( Dato’ Seri Haji Ahmad Said) iaitu menanam kelapa sawit di sekeliling rumah dan bermula tahun depan akan ditambahbaik lagi dengan menggalakkan rakyat kita menanam sayur di sekeliling rumah serta tanah terbiar di sekeliling mereka menerusi program `Jom Kita Tanam Sayur’ sebagai usaha mengatasi kekurangan bekalan sayur di Terengganu,” katanya.

beliau berkata, kerajaan juga akan meneruskan inisiatif menyediakan bantuan baja dan racun perosak kepada petani bagi menggalakkan budaya itu, selain menghasilkan tanaman yang berkualiti di seluruh Terengganu.