Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu (Belanjawan) hari ini dimulakan dengan doa dan nasihat oleh Yang Dipertua, YB Haji Mohd Zubir Embong.
Dalam ucapan pembukaannya hari ini, Haji Zubir mengingatkan ahli-ahli dewan supaya mengutamakan perhubungan baik, kasih sayang dan mencontohi cara Rasulullah s.a.w dalam perbahasan.
"Setiap soalan yang dikemukakan hendaklah ikhlas serta setiakawan dan bukan ada tujuan lain," pesannya.
Sebanyak 155 soalan dikemukakan dalam sidang kali ini iaitu 110 soalan lisan dan 45 soalan bertulis.
Yang Dipertua Dewan juga tidak lupa menjunjung kasih kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu yang mencemar duli melawat mangsa-mangsa banjir.
"Juga terima kasih kepada ahli-ahli YB dan semua pihak yang membantu mangsa banjir di negeri ini" katanya dalam ucapan kira kira 10 minit.
Oleh: Ruslan Abdul Rahman