Halaman

09 December 2013

SIDANG DUN: Bekalan makanan untuk mangsa banjir mencukupi

Oleh: Aida Abd Rahman, Suriati Ali dan Noraini Jusoh

Bekalan makanan yang diagihkan kepada mangsa banjir di seluruh Terengganu sehingga kini mencukupi walaupun pada peringkat awal timbul sedikit kesulitan untuk menghantar bekalan ke beberapa pusat pemindahan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, masalah paras air naik terlalu tinggi dan ada kawasan yang mencecah sehingga 1.5 meter menghalang kenderaan membawa bekalan ke pusat pemindahan banjir tertentu seperti di Sekolah Menengah Kebangsaan Banggol, Mak Lagam (Kemaman).

“Pasukan penyelamat dan Bomba sendiri tidak berani kerani arus air deras berhampiran sungai, jika bot pun hanya mampu menghantar sedikit bekalan. Namun begitu, pada keesokannya dengan bantuan lori tentera oleh Majlis Keselamatan Negara Negeri Terengganu (MKN) bekalan makanan terbabit dapat sampai ke pusat pemindahan banjir itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Persidangan DUN Terengganu Ke-13 (Bajet 2014) pada hari pertama, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Susulan itu juga, kerajaan negeri belum dapat membuat tafsiran sebenar nilai kerugian kerosakan infrastruktur akibat bencana itu, malah tidak menolak ia melibatkan angka yang besar.

Tambah beliau lagi, banjir yang melanda negeri ini pada kali ini agak luar biasa berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang menunjukkan hujan yang berlaku di Kemaman baru-baru ini berlaku 100 tahun sekali.

“Mengikut Pusat Kajian Sukatan Hujan, hujan yang turun pada 3 Disember lalu di kawasan Jabor adalah sebanyak 777mililiter (ml) sehari. Dan dalam tempoh tiga hari meningkat kepada 1,662 ml.

“Sedangkan pada banjir tahun lepas hanya 442 ml untuk tempoh yang sama. Angka ini menunjukkan peningkatan yang luar biasa kerana di Terengganu taburan hujan secara keseluruhan adalah antara 3,800 ml hingga 3,900 ml setahun,” katanya.

Menurutnya, situasi itu bertambah teruk apabila air pasang besar sehingga 3.6 meter menyebabkan air dari sebelah hulu tidak dapat mengalir ke laut dan bertembung mengakibatkan berlaku limpahan di Chukai dan kawasan sekitar.