Halaman

10 December 2013

EIO pantau e-Book di setiap sekolah

Oleh: Suriati Ali 

Kerajaan negeri mempunyai perancangan rapi dalam melaksanakan pembelajaran menggunakan sistem e-Book dengan menyediakan Pegawai Eksekutif Maklumat (EIO) di setiap sekolah .

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, Terengganu juga mempunyai sebuah kilang yang mengeluarkan pelbagai jenis gajet gajet komunikasi ciptaan sendiri dengan jenama Top IT.

 Katanya, setiap EIO bertanggungjawab membantu membaiki kerosakan kecil yang berlaku terhadap e Book manakala kerosakan yang besar akan dibaiki kilang Top IT yang terletak di kawasan perindustrian di Gong Badak.

"Ini lah pelan strategik kita...kita bekal e Book untuk pelajar manfaatkan penggunaan teknologi komunikasi maklumat untuk kecemerlangan akademik.

“Pada masa sama, kerajaan Terengganu sudah sediakan EIO dan kilang sendiri untuk membaiki kerosakan e Book.

"Malah, kilang kita juga ada keluarkan gajet yang dijual ke pasaran luar negara dan lebih membanggakan 100 peratus pekerjanya adalah Bumiputera," katanya menjawab soalan tambahan Azan Ismail (PKR-Bandar) yang ingin tahu persediaan kerajaan negeri untuk menangani masalah 'maintenance' penggunaan e Book di Terengganu.

 Justeru, Ahmad berkata tidak timbul isu kerajaan negeri hanya 'syok sendiri' membekal e Book kepada pelajar kerana persediaan untuk membaiki kerosakan telah pun disediakan serentak pelaksanaan program itu.