Halaman

10 December 2013

Setiu kembali banjir, 110 berpindah.

Pusing...kenderaan berpatah balik di Kampung Lubuk Panjang.
oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Selepas hujan tidak berhenti bermula dari petang semalam, beberapa kampung di kawasan Langkap, dekat sini, mula ditengelami air sejak awal pagi tadi menyebabkan 110 penduduk di pindahkan.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Ab Rahman Raja Mohamed berkata, penduduk yang berpindah itu ialah dari Kampung Merbau Menyusut dan Kampung Bukit Nyior, Sungai Tong.

"Jalan yang ditutup pula ialah Jalan Pengkalan Merbau-Pelong di Kampung Seri Kenangan, air sedalam kira-kira 1.2 meter dan Jalan Chalok Kedai-Telaga Papan iaitu di Kampung Lubuk Panjang sedalam kira-kira 0.5 meter," katanya ketika di hubungi Teganukita.

Sementara itu, tinjauan di beberapa kampung sebentar tadi (3 petang) mendapati air yang mulai naik sejak awal pagi tadi itu semakin surut sedikit antaranya ialah di Kampung Chalok Kedai, Kampung Chalok Terap, Sungai Bari dan Kampung Merbau menyusut.

Seorang penduduk Kampung Merbau Menyusut, Abdul Hadi Ahmad, 40, berkata, dia sekeluarga terpaksa berpindah kira-kira jam 7 pagi di masjid kampung berkenaan.

"Setakat ini air sudahpun surut sedikit selepas naik kira-kira jam 12 tengahari tadi tetapi mereka yang berpindah di masjid masih belum pulang ke rumah masing-masing," katanya.