Kerajaan negeri tidak pernah menganiaya pelajar dengan membatalkan penajaan biasiswa pelajaran selagi golongan itu mematuhi semua syarat dan perjanjian yang ditandatangani antara kedua-dua pihak.
Terbaru, YB Ghazali Taib (Ajil-BN) berkata, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menukar status biasiswa 40 pelajar tajaannya di Jordan kepada pinjaman boleh ubah yang diuruskan Yayasan Terengganu (YT).
“Sebenarnya tidak, ia diserahkan kepada Yayasan Terengganu untuk diurus dan mereka tertakluk dengan perjanjian yang mereka tandatangani dengan Maidam. Walaubagaimanpun, jika mereka mencapai tahap yang dikehendaki sebagaimana disyaratkan mereka boleh mendapat pembiayaan terus sebagaimana biasiswa. Ini sudah diselesaikan oleh pihak YT dan Maidam, tidak timbul lagi maksud yang tersirat tadi.
“Insya-Allah kita pihak YT dan Maidam tidak akan menganiaya pelajar kecuali disebabkan oleh pencapaian mereka tidak begitu bagus jadi kita mahu menggalakkan mereka dan kita mensyaratkan pelajar yang mencapai tahap kepujian sahaja mendapat pertukaran pinjaman kepada biasiswa,” kata beliau sebagai mengulas soalan tambahan YB Mohd Abdul Wahid Endut (Wakaf Mempelam-Pas), di Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-13 (Bajet), hari pertama, hari ini.
YB Ghazali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, menjelaskan demikian merujuk persoalan yang dibangkitkan oleh YB Mohd Abdul Wahid mengenai kes terbaru berhubung pembatalan biasiswa oleh Maidam melibatkan 40 pelajar.
Difahamkan, Maidam membuat penilaian semula latar belakang pelajar tajaannya, yang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, kepakaran ulama serta pengajian Islam di Jordan itu selepas mendapati 40 daripada 95 pelajar tidak layak menerima biasiswa berkenaan.
Hanya 55 pelajar dikategorikan keluarga fakir dan miskin layak mendapat biasiswa itu, manakala bakinya diberi pinjaman melalui YT.
Tambah beliau lagi, bagi pelajar persendirian mulai tahun ini pembiayaan dipecahkan kepada dua kategori serta tidak timbul soal pembatalan penajaan, kecuali
pelajar tersebut tidak mencapai tahap mumtaz, jiddan dan sebagainya sebagaimana tertakluk dalam perjanjian antara pelajar dengan Maidam.
Dalam pada itu, YB Ghazali berkata, Maidam sudah menaja 2,243 pelajar seluruh Terengganu melanjutkan pengajian di bidang Syariah dan Usuluddin sejak 2008 hingga tahun ini.
Daripada jumlah itu, penajaan pelajar persendirian menerusi dermasiswa fisabillah Maidam bagi tahun 2008 (350 orang); 2009 (342); 2010(448); 2011 (474); 2012(337) dan 2013 (393).
“Kesemua pelajar berkenaan dihantar ke sembilan negara iaitu Mesir, Jordan , Indonesia, Morocco, Yaman, Syria, Pakistan, Sudan dan Afrika Selatan.
“Bagi tempoh yang sama juga YT telah menerima seramai 38 pelajar bagi program Syariah dan Usuludin di Jordan bagi program pertukaran pelajar Maidam-YT,” ulas beliau lagi.
Katanya, YT turut menaja 135 pelajar sepanjang 2008 hingga 2013 dalam bidang Syariah dan Usuluddin, masing-masing pada tahun 2008 (25 ); 2009 (29); 2010 (40); 2011 (9); 2012 (24) dan 2013(8).
Daripada jumlah itu, pelajar di Mesir (58); Jordan (72) dan Morocco (5).