Halaman

13 December 2013

Terengganu International Rainforest Challenge 2013 tonjol kehebatan peserta Malaysia

Oleh: Noraini Jusoh

Pasangan Tan Eng Joo dan Tan Choon Hong berjaya menonjolkan kehebatan peserta Malaysia apabila muncul juara dalam cabaran sukan lasak Terengganu International Rainforest Challenge (RFC) 2013 yang dianjurkan kerajaan negeri.

Berbekalkan kekuatan mental dan fizikal mengendalikan pacuan empat roda Suzuki Jimny, pasangan yang berasal dari Batu Pahat, Johor itu telah dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama. Diikuti dua pasangan dari Rusia, Kulbak Roman/Kovalenko Evgenii (naib juara) dan Alexander Nikolaev/Dmitry Kalinin (ketiga).

Tan Eng Joo, 50, berkata beliau dan anak saudaranya Tan Choon Hong, 28, tidak menyangka dapat menewaskan peserta lain yang lebih hebat dan kebanyakannya dari luar negara memandangkan RFC kali ini lebih mencabar kerana berlangsung dalam musim tengkujuh.

"Kami meredah hujan dan banjir serta banyak pokok tumbang sepanjang perjalanan. Laluan paling sukar adalah Air Terjun Chemerong, Hulu Dungun sebab di situ jalan memang sangat licin ditambah hujan lebat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah RFC, di Hotel Permai, baru-baru ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis itu yang turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Sebahagian negara yang mengambil bahagian dalam RFC yang bermula 30 Nov lalu ialah Singapura, Australia, Sepanyol, Britain, Belanda, China, Rusia serta Colombia.

Laluan antaranya membabitkan Hutan Simpan Merchang di Hulu Dungun, Bandar Al Muktafi Billah Shah, Hulu Kemaman dan Kuala Terengganu.

Seramai 300 peserta dari 25 negara menyertai acara lasak yang menyaksikan Terengganu menjadi tuan rumah itu.