Halaman

13 December 2013

SIDANG DUN: Kerajaan tidak ambil tanah semborono

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri tidak akan melakukan pengambilan tanah secara semborono tanpa berasaskan kajian, peraturan dan garis panduan termasuk melaksanakannya berdasarkan Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP), bagi mengelak berlakunya pencemaran sungai di Terengganu.

YB Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman (Seberang Takir-BN), berkata dua kaedah rawatan sungai, iaitu menggunakan semburan Efektif Mikrooragnisma (EM) dan mencampak EM serta perangkap sampah juga dilaksanakan bagi membersihkan sungai.

 “Tiada masalah, sekiranya ada berlaku masalah pencemaran di luar kawalan , kita akan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya. Apabila kita melakukan pembangunan sudah tentu ada perkara luar jangkaan akan berlaku.

“Tetapi dalam soal pembangunan Kuala Nerus, kerajaan sudah mempunyai langkah, cara dan kaedah bagaimana kita hendak membangunkan kawasan itu sesuai dengan penggunaan teknologi hijau,” katanya ketika menjawab soalan lisan tambahan Dr Alias Razak (Bukit Tunggal-Pas), di sidang DUN (hari keempat), semalam.

Dr Alias meminta penjelasan mengenai langkah pencegahan yang diambil kerajaan negeri bagi memastikan tiada pencemaran di Sungai Terengganu kesan pembangunan pusat pertumbuhan baru daerah Kuala Nerus.

Terdahulu, Dato’ Ahmad Razif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air negeri berkata usaha mengatasi penceramaran persekitaran dan sungai di negeri ini memerlukan kerjasama semua pihak serta tidak hanya bergantung kepada agensi dan jabatan berkaitan semata-mata.

 “Kesedaran itu perlu wujud di pihak kita sendiri kerana perlu juga inisiatif kita. Kita tiada masalah jika pihak pembangkang mahu melaksanakan kerjasama dengan jabatan berkaitan untuk melaksanakan program sebagaimana yang disebut tadi.

“Maka apabila ada program gotong-royong, apabila kita naikkan kain rentang , tidak perlulah surat jemputan, apabila dah ada kain rentang bermakna kita jemput semua hadir bersama, tetapi masalah kita begitulah, apabila ada gotong-royong ini, kadang-kadang sambutan itu tidak sepertimana yang kita harapkan,” katanya.