BANDAR PERMAISURI: Seramai 35 keluarga dari Kampung Nyior, Sungai Tong, dekat sini masih berada di pusat pemindahan banjir sehingga pagi ini.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir IPD Setiu, ketika dihubungi sebentar (8 pagi) tadi memberitahu keluarga terbabit belum dapat pulang ke rumah masing-masing walaupun kebanyakan banjir di kawasan Langkap hampir pulih.
"Setakat ini hanya 35 keluarga dari Kampung Nyior yang masih tinggal di pusat pemindahan di Setiu ini manakala satu lagi tempat pemindahan di Merbau Menyusut telah ditutup berikutan air di kampung itu surut dan kesemua mangsa pulang ke rumah masing-masing," katanya.
Menurutnya, kesemua jalan utama yang di daerah ini yang ditutup semalam sudah dibuka kepada semua kenderaan termasuklah Jalan Chalok Kedai ke Telaga Papan dan Jalan Langkap ke Pelong.
Sementara itu, di beberapa tempat di daerah ini tidak mengalami hujan sejak malam semalam dan keadaan ini boleh membantu menurunkan paras air di beberapa kawasan yang masih ditenggelami air dan menurunkan paras air sungai.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Dato' Sabri Mohd Nor menasihati penduduk kawasanya supaya sentiasa bersedia menghadapi banjir walaupun banjir semakin pulih kerana musim tengkujuh masih lagi ada dan banjir boleh berlaku pada bila-bila masa.