Petugas sedang mengangkat barang keperluan hasil sumbangan orang ramai ke atas lori untuk dihantar ke daerah Kemaman. |
Dalam tempoh kurang lima jam, pelbagai barangan makanan dan pakaian dianggarkan melebihi lima tan berjaya dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai untuk diagihkan kepada pusat pemindahan mangsa banjir di sekitar Kemaman.
Inilah barangan sumbangan orang ramai untuk mangsa banjir di sekitar Kemaman. |
KHAIRIL ZUHDI |
Pengarah Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN Terengganu, Encik Khairil Zuhdi Khairuddin, berkata pihaknya terpanggil untuk mengajak seluruh masyarakat di negeri ini tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik berganding bahu menunjukkan rasa cinta, kerjasama dan keprihatinan kepada mereka yang tidak bernasib baik terutama ketika berdepan musibah banjir di seluruh negeri.
“Timbul rasa ingin membantu mangsa banjir yang juga terdiri di kalangan saudara-mara dan rakan-rakan kita sendiri selepas melihat usaha yang dilaksanakan oleh sebuah kelab motor juga di Kuala Terengganu ini sejak semalam.
“Jadi selepas menghubungi Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Terengganu untuk menyediakan logistik bagi menghantar bekalan ini dan mendapat persetujuan beliau, saya mengerahkan petugas membuat promosi hebahan menerusi website dan Facebook sejak 9 malam tadi. Alhamdulillah sambutan amat di luar jangkaan pada hari ini,” katanya kepada Teganukita, semalam.
Encik Khairil berkata, usaha itu bukan sahaja disertai lebih 10 petugas, malah beberapa orang awam secara sukarela turut menghulurkan kerahan tenaga membantu mengangkat barangan yang dibawa orang ramai dari but kenderaan yang tidak putus-putus tiba di pusat pengumpulan barang berkenaan.
Malah, menurutnya, pihaknya juga berbangga dan terharu apabila ada orang perseorangan yang tampil membantu untuk menyediakan lori bagi mengangkut dan memindahkan barangan itu ke pusat pemindahan nanti.
“Kita bukan sahaja dapat meringankan beban mereka yang sedang dirundung masalah dan memerlukan sokongan kita, malah usaha sebegini juga membuktikan masyarakat Terengganu amat prihatin dan bersedia menghulurkan bantuan tanpa mengira sesiapa.
“Kita juga bersedia dan tidak mustahil untuk meneruskan usaha murni itu sekiranya masih ada sambutan dan keperluan berbuat demikian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata JPAM juga bersedia menyediakan lori muatan lima tan jika lori tiga tan yang dipersetujui awal pihak berkenaan tidak dapat menampung barangan berkenaan.