Halaman

09 December 2013

Chukai-Air Putih masih terputus/ GPMS bantu mangsa banjir.

Dalam..air di Binjai masih belum surut.
Teks dan gambar Aminudin Ismail.

KUALA TERENGGANU: Selepas hampir enam hari ditenggelami air, Jalan Chukai-Air Putih di Kampung Binjai masih belum boleh dilalui semua kenderaan berikutan masih terdapat air melintasi jalan sedalam kira-kira satu meter sehingga pagi ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir (IPD) Kemaman ketika dihubungi sebentar tadi (9.30 pagi) memberitahu hanya jalan itu sahaja jalan utama di Kemaman yang belum boleh dilalui semua kenderaan.

Sementara itu, tinjauan Teganukita di kawasan terbabit semalam mendapati, keadaan air masih lagi dalam dan bertakung sejauh kira-kira hampir dua kilometer. Beberapa petugas banjir sedang giat membantu mangsa samada untuk menghantar bantuan makanan atau membawa keluar mangsa banjir dengan mengunakan bot ataupun kayak.

Bantuan semakin mencurah samada dari pihak kerajaan, swasta ataupun orang perseorangan seperti beras, roti, biskut, tikar, bantal dan lain-lain.

Sekumpulan ahli Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dari Kuala Lumpur pula mengambil inisiatif mengunakan kayak untuk menghantar barangan keperluan penduduk.

Hisyamuddin..bantu.
Naib Presidennya, Hisyamuddin Abdul Rahman berkata anggota dari GPMS ini datang ke Kemaman selepas membantu mangsa banjir di Kuantan beberapa hari lalu.

"Ini adalah antara usaha GPMS bagi menjayakan misi khidmat masyarakatnya di negara ini. Pada hari ini kami bergerak di dua tempat yang yang mana kawasanya masih di tenggelami air termasuklah di Binjai ini," katanya.