Halaman

09 March 2014

300 kelapa sawit milik Ladang Rakyat terbakar.

Seorang anggota Bomba sedang memadam api di Ladang Rakyat, semalam.
Oleh: Aminudin Ismail.

LADANG RAKYAT Sdn Bhd syarikat milik kerajaan negeri Terengganu mengalami kerugian kira-kira RM30,000 apabila sebanyak 300 pokok kelapa sawit berusia lapan bulan terbakar berpunca akibat terkena percikan bara api daripada kebakaran belukar berhampiran ladang itu, kelmarin.

Pengurusnya, Mohd Zukri Mamat berkata, bagaimanapun, kebakaran yang berlaku petang dan malam kelmarin itu tidak merebak ke kawasan pokok kelapa sawit dewasa kerana beberapa pekerja dan anggota Bomba memadamkan kebakaran dengan segera.

Zukri..padam serta merta.
"Kebetulan ketika kejadian beberapa pekerja dan anggota bomba ada berhampiran tempat kejadian dan api dapat dipadamkan serta merta.

 "Api berpunca daripada percikan bara api menyebabkan beberapa pokok kelapa sawit itu terbakar. Dalam usaha memadam api itu, beberapa pokok lain terbakar sehingga merosakan kira-kira 300 pokok kelapa sawit berdekatan," katanya ketika ditemui Teganukita di kawasan Ladang Rakyat, semalam.

Zukri berkata, sehingga kini tiada pokok dewasa yang terbakar walaupun terdapat percikan bara api di dalam kawasan tanaman kelapa sawit itu.

"Hari ini (semalam) berlaku beberapa percikan bara api di kawasan pokok dewasa tetapi alhamdulillah, ia dapat dipadam segera oleh anggota Bomba dengan kerjasama beberapa pekerja," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi kebakaran itu, Kamerul Bieza Mohd Kassim berkata, sehingga semalam, kira-kira hampir separuh kawasan yang terbakar berhampiran Ladang Rakyat itu sudah pulih dan tiada lagi api di kawasan berkenaan.

"Hanya tinggal kira-kira 150 hektar lagi yang masih terbakar manakala yang lainnya sudahpun padam tetapi ada kawasan baru yang terbakar, kelmarin iaitu berhampiran Pagar Besi iaitu di kawasan seluas kira-kira 50 hektar," katanya.

Bieza menerangkan sesuatu kepada seorang wartawan akhbar.
Bieza mengharapkan penduduk kampung tidak bimbang dengan kawasan kebakaran itu kerana ia terletak agak jauh daripada kawasan perkampungan dan pihak Bomba (kira-kira 100 anggota) akan terus berusaha memadam dan mengawal api daripada terus merebak," katanya.
Seorang anggota Bomba sedang menganalisa kebakaran.

Beberapa anggota menjalankan tugas.
Jentera ladang turut membantu pemadaman.

Bieza (tiga dari kiri) bersama anggotanya dan Zukri(kiri).
Komander Bieza menunjukan rajah kawasan kebakaran.

 

08 March 2014

Iskandar lawat tempat kebakaran Lembah Bidong.


IKHLAS...Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi menyampaikan sumbangan bungkusan minuman kepada seorang petugas Bomba ketika membuat lawatan ke kawasan kebakaran belukar tanah gambut di Lembah Bidong, kelmarin

Dalam lawatan yang disertai beberapa Pemuda UMNO Setiu itu, Iskandar sempat membantu Bomba melakukan kerja pemadaman dan mendapat taklimat mengenai kebakaran yang berlaku sejak hampir dua minggu itu.

Iskandar membantu Bomba.
Dalam pada itu, tinjauan Teganukita, hari ini di kawasan itu mendapati keadaan kebakaran belukar itu semakin berkurangan daripada hari-hari sebelumnya tetapi keadaan asap masih lagi banyak menyelubungi persekitaran tempat kebakaran. 

Orang ramai terutamanya yang tinggal berhampiran kawasan kebakaran diminta supaya berhati-hati dengan asap kebakaran itu kerana ia boleh menyebabkan beberapa penyakit, antaranya ialah pedih mata, batuk dan gatal-gatal.- Aminudin Ismail.



Pegawai Bomba memberitahu sesuatu kepada Iskandar.

 

Pengawas SMK Pelong bentuk jati diri di Sekayu.


Sebahagian peserta kem menyanyikan lagu motivasi.
Oleh: Aminudin Ismail.

SERAMAI 54 pengawas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelong, Setiu berjaya menjalani Kem Kepimpinan Pengawas 2014, selama tiga hari, di Hutan Lipur, Sekayu yang berakhir hari ini.

Kem yang bertujuan meningkatkan jati diri pengawas itu turut disertai lapan fasilitator dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Dato' Razali Ismail, Batu Rakit.

Menurut guru penyelarasnya,Rahimah Abdul Wahab, antara aktiviti yang diadakan pada program itu ialah ceramah motivasi, meredah hutan,'ice breaking' dan solat berjemaah.

"Semoga semua pengawas yang terbabit dengan kem itu mendapat input yang berguna untuk di implikasikan di sekolah dan luar sekolah," katanya.

Majlis penutup program itu dilakukan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Setiu, Rani Awang Tok. Turut hadir ialah pengetua sekolah itu, Che Adam Che Muda.

Dalam ucapanya, Rani mahu semua pengawas menjalankan tugas dan amanah dengan baik supaya sekolah dapat melahirkan pelajar yang berdisiplin.

Beliau mengucap tahniah dan syabas kepada semua yang terbabit dengan program itu termasuklah fasilatator yang berjaya memberi semangat dan motivasi kepada peserta program.

Dalam pada itu, Che Adam mengucapkan terima kasih kepada semua lapan fasilitator yang memberi banyak ilmu kepimpinan yang berguna kepada pengawas SMK Pelong sepanjang program selama tiga hari itu.


Peserta mengaminkan doa.



Mohd Adib..gembira dapat bantu pelajar.


Ketua pengawas membuat ucapan.


Berselawat di akhir program.



Che Adam( kiri) menyampaikan cenderahati kepada Rani.

Fasilatator menerima cenderahati.

Mohd Luqman..Ketua Fasilatator.

Mohd Aidil..pertama kali 'jungle traking'

Muhammad Hafizhat...timba ilmu kepimpinan.

Ucapan wakil pengawas.

 

YB Muhamad Pehimi Yusof..Pesara aset penting


Muhamad Pehimi berucap di hadapan pesara kerajaan

Oleh: Mohammad Ishak 

“Biarpun bergelar pesara tetapi khidmat dan idea yang berkualiti kerana banyak pengalaman masih diperlukan untuk membantu masyarakat dan kerajaan membina Negara,” kata Ahli Exco Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Muhamad Pehimi Yusof.

Katanya, tanggungjawab pesara tetap diperlukan kerana mereka mumpunyai pengalaman luas ketika berkhidmat dalam jabatan kerajaan dan perlu digunapakai dalam komuniti selepas berstatus pesara.

Menurutnya, kerajaan juga amat menghargai jasa dan khidmat pesara kerana banyak membantu usaha kerajaan terutama membangunkan masyarakat.

Muhamad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih berkata, pesara kerajaan amat beruntung kerana mereka juga turut menikmati pelbagai insentif yang diberikan kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Daerah Besut, di Dewan Nurul Ehsan, Bangunan UMNO Besut hari ini.

Seramai 150 ahli yang sebelum ini bertugas di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri dan pusat menghadiri mesyuarat pertama selepas ditubuhkan pada 2011.

Muhamad Pehimi turut memuji usaha pesara menubuhkan persatuan kerana menerusi suara yang ramai nasib mereka akan lebih terjamin dan didengar oleh pihak terbabit.

Beliau berharap, lebih ramai pesara kerajaan yang bersara dapat menyertai persatuan berkenaan kerana banyak manfaat jika menjadi ahli persatuan berkenaan yang diiktiraf kerajaan.

TASIK BEBAS CUKAI: EKSPEDISI SOKONG MB BANGUNKAN TASIK KENYIR


EKSPEDISI TASIK KENYIR, Mendokong dan Menyokong Tasik Kenyir sebagai Tasik Bebas Cukai yang diusahakan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said telah diadakan selama 3 hari oleh Pemuda Kampung Duyong , Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, pada 7- 9 Mei.
  Seramai 20 orang pemuda dari kampung berkenaan dan sekitar telah menyertai program tersebut bagi menyokong langkah Menteri Besar Terengganu membangunkan tasik itu.
  Ketuanya, Firdaus Ruslan menyifatkan idea besar Dato’ Seri Haji Ahmad perlu disokong, terutama bagi menarik kedatangan pelancong dalam dan luar negara ke Terengganu dengan membangunkan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.
 Katanya, para belia dan pemuda perlu didedahkan dengan pembangunan tasik itu supaya tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang menentang pembangunan tasik itu oleh kerajaan negeri sekarang.

Le Tour de Langkawi 2014 Stage 9 - Bandar Permaisuri - Kuala Terengganu

















07 March 2014

Bazlan lawat kawasan terbakar di Lembah Bidong.

TAKLIMAT...Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman sedang diberi taklimat mengenai kebakaran belukar tanah gambut di Lembah Bidong oleh Komander Operasinya, Kamerul Bieza Mohd Kassim (kiri) ketika melawat markas sementara Bomba di Ladang Rakyat, Lembah Bidong, petang kelmarin.

Bazlan berkata, sebahagian basar hutan yang terbakar itu berada di dalam kawasan Dun Batu Rakit tetapi ia tidak membabitkan tanah penduduk.

"Kawasan yang terbakar itu adalah tanah hutan simpan milik kerajaan dan setakat ini kita belum menerima laporan bahawa tanah penduduk juga terbabit tetapi ia agak hampir dengan tanah milik penduduk.

Bazlan mendengar sesuatu daripada seorang anggota Bomba.
"Saya percaya pihak bomba sedang giat berusaha mempastikan api akan terpadam dalam masa terdekat ini walaupun usaha agak sukar kerana keadaan tanah gambut dan cuaca yang panas terik sekarang ini," katanya.

Bazlan berharap supaya penduduk tidak melakukan pembakaran terbuka kerana katanya, menurut Bomba kebakaran yang berlaku mungkin berpunca daripada pembakaran terbuka.

"Orang ramai terutamanya kanak-kanak diharap tidak banyak melakukan aktiviti di luar rumah kerana keadaan alam sekitar yang berhabuk akibat kebakaran itu yang boleh menyebabkan batuk ataupun pelbagai penyakit lain," katanya.-Aminudin Ismail.

 

YPU Terengganu jalin kerjasama dengan Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia

Oleh: Noraini Jusoh

Bagi meningkatkan daya saing produk menerusi reka bentuk pembungkusan dan pelabelan produk, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan salah sebuah anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA) iaitu Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC).

Majlis menandatangi MoU yang berlangsung di Mayang Sari Resort, Dungun itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Che Razali Adis serta Ketua Pegawai Eksekutif DDEC, Datuk Abdul Rahim Hassan.

Che Razali berkata, pihaknya berharap melalui memorendum tersebut, ia dapat mewujudkan usahawan yang lebih berdaya maju dan pelbagai latihan serta pembudayaan keusahawanan serta perniagaan dapat dijalankan.

"Kami berharap dengan adanya MoU ini, kesedaran usahawan terutamanya yang terlibat dalam Industri Kecil Sederhana (IKS) terhadap kepentingan adanya pelabelan dan pembungkusan untuk produk mereka akan meningkat.

"Kini hanya 15 peratus dari 8,000 usahawan yang berdaftar mempunyai pelabelan dan pembungkusan serta penjenamaan sendiri dan kita harap ianya akan dapat ditingkatkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Seminar Penjenamaan dan Pembungkusan Produk, semalam.

Majlis yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Roslee Daud turut disertai Pengarah Mara Terengganu, Abdullah Mohamad.

Sementara itu, Roslee berkata kurangnya kesedaran usahawan terhadap penjenamaan dan pembungkusan adalah disebabkan pemikiran usahawan yang tidak terbuka yang menganggap kos pembungkusan serta penjenamaan tinggi dan tidak berbaloi dengan keuntungan yang diperoleh.

"Sebenarnya, apabila mereka membuat pembungkusan, pelabelan serta penjenamaan yang baik, ia sebenarnya menguntungkan mereka untuk masa akan datang sebab pengguna akan lebih tertarik dengan apa yang mereka pasarkan.

"Penjenamaan dan pembungkusan ini sebenarnya dapat menaikkan seseorang usahawan dan dapat menjadikan mereka dapat bersaing dengan usahawan lain.

Memang semua ini melibatkan kos, tetapi usahawan tidak perlu bimbang sebab YPU, MARA serta DDEC ada dibelakang mereka untuk membantu dan memberi tunjuk ajar," katanya.

Menurutnya, usahawan terutamanya bagi usahawan luar bandar juga digalakkan menggunakan khidmat yang ditawarkan oleh agensi-agensi seperti YPU serta Mara yang dapat memberi bimbingan kepada mereka untuk lebih berdaya saing setanding dengan usahawan lain yang telah maju.