Halaman

09 March 2014

300 kelapa sawit milik Ladang Rakyat terbakar.

Seorang anggota Bomba sedang memadam api di Ladang Rakyat, semalam.
Oleh: Aminudin Ismail.

LADANG RAKYAT Sdn Bhd syarikat milik kerajaan negeri Terengganu mengalami kerugian kira-kira RM30,000 apabila sebanyak 300 pokok kelapa sawit berusia lapan bulan terbakar berpunca akibat terkena percikan bara api daripada kebakaran belukar berhampiran ladang itu, kelmarin.

Pengurusnya, Mohd Zukri Mamat berkata, bagaimanapun, kebakaran yang berlaku petang dan malam kelmarin itu tidak merebak ke kawasan pokok kelapa sawit dewasa kerana beberapa pekerja dan anggota Bomba memadamkan kebakaran dengan segera.

Zukri..padam serta merta.
"Kebetulan ketika kejadian beberapa pekerja dan anggota bomba ada berhampiran tempat kejadian dan api dapat dipadamkan serta merta.

 "Api berpunca daripada percikan bara api menyebabkan beberapa pokok kelapa sawit itu terbakar. Dalam usaha memadam api itu, beberapa pokok lain terbakar sehingga merosakan kira-kira 300 pokok kelapa sawit berdekatan," katanya ketika ditemui Teganukita di kawasan Ladang Rakyat, semalam.

Zukri berkata, sehingga kini tiada pokok dewasa yang terbakar walaupun terdapat percikan bara api di dalam kawasan tanaman kelapa sawit itu.

"Hari ini (semalam) berlaku beberapa percikan bara api di kawasan pokok dewasa tetapi alhamdulillah, ia dapat dipadam segera oleh anggota Bomba dengan kerjasama beberapa pekerja," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi kebakaran itu, Kamerul Bieza Mohd Kassim berkata, sehingga semalam, kira-kira hampir separuh kawasan yang terbakar berhampiran Ladang Rakyat itu sudah pulih dan tiada lagi api di kawasan berkenaan.

"Hanya tinggal kira-kira 150 hektar lagi yang masih terbakar manakala yang lainnya sudahpun padam tetapi ada kawasan baru yang terbakar, kelmarin iaitu berhampiran Pagar Besi iaitu di kawasan seluas kira-kira 50 hektar," katanya.

Bieza menerangkan sesuatu kepada seorang wartawan akhbar.
Bieza mengharapkan penduduk kampung tidak bimbang dengan kawasan kebakaran itu kerana ia terletak agak jauh daripada kawasan perkampungan dan pihak Bomba (kira-kira 100 anggota) akan terus berusaha memadam dan mengawal api daripada terus merebak," katanya.
Seorang anggota Bomba sedang menganalisa kebakaran.

Beberapa anggota menjalankan tugas.
Jentera ladang turut membantu pemadaman.

Bieza (tiga dari kiri) bersama anggotanya dan Zukri(kiri).
Komander Bieza menunjukan rajah kawasan kebakaran.