Halaman

07 June 2018

Warga Wisma Persekutuan Hayati World #QuranHour


Persatuan Kebajikan dan Sukan Wisma Persekutuan Kuala Terengganu (PKSWPKT) mengadakan World #QuranHour di Wisma Persekutuan, Kuala Terengganu, hari ini. 

Program disertai warga Wisma Persekutuan bermula dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Penolong Pesuruhjaya II Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Ustaz Muhammad Ash-Shafie Abd Manan dan seterusnya membaca surah Yasin. 

Bayar Cukai Tanah Dilanjut Sehingga 31 Oktober


Kerajaan negeri bersetuju melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah tanpa denda di seluruh Terengganu sehingga 31 Oktober 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah ketika mengumumkannya berkata, lanjutan tempoh bayaran yang sebelum ini tamat pada 31 Mei lalu dibuat bagi memudahkan rakyat dan mengurangkan rasa tertekan serta terbeban, apatah lagi pada musim membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri ini.

"Kami menerima banyak aduan daripada rakyat yang tidak sempat untuk membayar cukai hasil tanah kerana tarikh tamat pembayaran tersebut pada 31 Mei 2018. Oleh itu, kami bersetuju untuk menangguhkan tempoh masa itu sehingga 31 Oktober ini.

Dana Raya Diagih Mulai 11 Jun


Bantuan Dana Perayaan Aidilfitri 2018 berjumlah RM69.13 juta akan diagihkan kepada 276,541 penerima yang layak mulai 11 Jun (Isnin) ini sebagai persediaan menyambut perayaan Aidilfitri.

Agihan wang dana secara berperingkat itu akan disalurkan melalui bank masing-masing, manakala bagi mereka yang tidak mempunyai akaun bank, pihak Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengeluarkan baucer.

Baucer hanya boleh ditunaikan di Bank Simpanan Nasional (BSN) berdekatan sama ada di Terengganu mahu pun luar Terengganu, tempoh sah laku baucer adalah selama tiga bulan bermula 11 Jun sehingga 11 September depan.

Karnival Taman Syurga Tarik Orang Ramai Fahami Fungsi Masjid


Masjid al-Muktafi Billah Shah (MAMBS) atau lebih dikenali sebagai Masjid Ladang Kuala Terengganu akan menganjurkan Karnival Taman Syurga bermula 7 hingga 10 Julai ini bertempat di perkarangan masjid itu.

Setiausaha Lembaga Pengurusan Masjid MAMBS, Ahmad Azman Tajuddin berkata, Karnival Taman Syurga yang julung kali diadakan itu, mensasarkan menarik orang ramai terutamanya golongan muda untuk memahami fungsi masjid serta menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti seharian selain daripada pusat penyampaian ilmu.

“Malah peranan masjid juga akan diharap boleh dilihat sebagai tempat yang menyediakan persekitaran yang soleh, sekaligus akan memandu masyarakat kearah masyarakat yang damai dan harmoni,” katanya kepada pemberita selepas perbincangan dengan wakil kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, semalam.

06 June 2018

Terengganu Sasar Kurangkan 15 Peratus Perokok


Kerajaan negeri mensasarkan pengurangan 15 peratus daripada keseluruhan 170,000 perokok di kalangan penduduk Terengganu melalui Program mQuit Masjid dalam tempoh lima tahun sehingga 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak, berkata pelaksanaan program dimulakan dengan imam yang berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melibatkan seramai 3,000 orang di seluruh Terengganu.

"Jumlah ini melibatkan 505 masjid yang terdapat di seluruh negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu memainkan peranan dalam menganjurkan Program mQuit Masjid sempena Sambutan Hari Tanpa Tembakau.

Kerajaan Pimpinan Pas Selesaikan Agihan Dana Bakti Remaja

Wan Sukairi ketika sidang media selepas mesyuarat mingguan exco, hari ini. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim.
Kerajaan negeri akan menyelesaikan 16,289 penerima Dana Bakti Remaja yang belum menuntut bayaran itu di seluruh Terengganu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri pimpinan Pas mahu memastikan pengagihan dana yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu diteruskan sebagai kesinambungan kebajikan dan kebaikan rakyat Terengganu. 

Katanya, daripada keseluruhan 117,284 penerima dana berkenaan, 100,995 penerima sudah menebusnya sehingga 9 Mei lalu. 

RM6.3 Juta Bonus Untuk Penjawat Awam Di Terengganu


Mohd Nor ketika sidang media selepas mesyuarat mingguan exco, hari ini. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim.

Bagi menghargai perkhidmatan yang telah disumbangkan oleh penjawat awam, kerajaan negeri pimpinan Pas bersetuju memberi bonus sebanyak RM500 kepada setiap seorang dengan peruntukan lebih RM6.3 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah ketika mengumumkannya berkata, insentif itu akan dinikmati oleh lebih 12,000 penjawat awam di seluruh negeri yang berstatus tetap, kontrak, sementara tanpa penjawatan dan ad hoc.

“Kerajaan negeri akan membayarnya untuk kepentingan dan manfaat penjawat awam dalam semua kategori (sektor pekerjaan) agar dapat mengurangkan bebanan menyambut lebaran nanti.

Ibu dan Bapa Tunggal Terima Saguhati Perkahwinan

Hanafiah mengagihkan sumbangan kepada peserta Majlis Penyampaian Cek Saguhati Perkahwinan. Foto Harish Fadzillah Abu Karim.
Kerajaan negeri mengagihkan RM199,000 kepada 119 ibu dan bapa tunggal yang kembali menjalani kehidupan berumah tangga dalam Majlis Penyampaian Cek Saguhati Perkahwinan di Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Kuala Terengganu, semalam.

Pengarah YPKT, Mohd. Shafaruddin Mustaffa berkata, ganjaran RM1,000 bagi setiap individu yang diperkenalkan dalam Bajet 2018 itu merupakan sebahagian daripada rangsangan ke arah mencorak institusi keluarga yang terbela dan lebih sejahtera.

Kerajaan Negeri Perkenal Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030

Menteri Besar bermesra dengan tetamu Majlis Iftar Terengganu Inc Bersama Menteri Besar di Permai Hotel. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim.
Kerajaan negeri memperkenalkan satu pelan jangka panjang dikenali sebagai Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) bagi membangunkan negeri dalam kerangka pelaksanaan yang lebih strategik. 

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sasaran pelan itu dirangka dengan berteraskan kepada lapan sasaran pencapaian penting merangkumi lima bidang fokus utama yang membabitkan tujuh prinsip bagi menjadikan Terengganu Sejahtera menjelang 2030.

Jangan Jadikan Puasa Sebagai Alasan Malas Bekerja


Penjawat awam di negeri ini diingatkan supaya tidak menjadikan alasan berpuasa sebagai malas bekerja, sebaliknya perlu dilihat sebagai motivasi untuk lebih berusaha dan berjaya.

Setiusaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya, berkata mereka perlu menjadikan ibadah itu sebagai motivasi mengumpul amalan dan pahala untuk bekalan di akhirat kelak.

Katanya, mereka perlu berfikir sekiranya berterusan bersikap lembik’ (malas bekerja), adakah rezeki yang dibawa pulang untuk keluarga dan anak-anak, adakah ianya berkat.

A. Rahman berbual mesra dengan kakitangan Wisma Darul Iman. Foto Tengku Syamim Tengku Ismail .
“Oleh itu, marilah kita bersama-sama muhasabah diri, ubah sikap malas bekerja kepada kepada bersikap professional, bersemangat dan jujur dalam menjalankan tugas,”katanya.