Halaman

06 June 2018

Kerajaan Negeri Perkenal Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030

Menteri Besar bermesra dengan tetamu Majlis Iftar Terengganu Inc Bersama Menteri Besar di Permai Hotel. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim.
Kerajaan negeri memperkenalkan satu pelan jangka panjang dikenali sebagai Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) bagi membangunkan negeri dalam kerangka pelaksanaan yang lebih strategik. 

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sasaran pelan itu dirangka dengan berteraskan kepada lapan sasaran pencapaian penting merangkumi lima bidang fokus utama yang membabitkan tujuh prinsip bagi menjadikan Terengganu Sejahtera menjelang 2030.



Menurut beliau, tujuh prinsip tersebut ialah; pematuhan kepada prinsip Islam; insan berkualiti aset terpenting negeri; kekayaan dan hasil tempatan adalah untuk rakyat; pembangunan sosial dan ekonomi adalah tanggungjawab kerajaan dan masyarakat; pembangunan lestari, yang mencakupi tiga elemen utamanya, alam sekitar, masyarakat dan ekonomi yang berteraskan Islam.


Lain-lain adalah, kerajaan negeri sebagai pemandu, pemudahcara dan pemantau kepada swasta dan rakyat dalam menjayakan pelan pembangunan negeri; pengasingan fungsi antara badan politik dan kuasa ekonomi. Badan politik sebagai penentu halatuju negeri, perancang program dan pemantau. Kuasa ekonomi bertanggungjawab terhadap penentuan syarikat pelaksana.

"Sehubungan itu, setiap perancangan ini saya mahukan supaya pihak pengurusan Kumpulan Terengganu Inc (TI) membuat analisa dan menambahbaikkan Pelan Strategik sedia ada bagi menyokong hasrat kerajaan bagi kita nencapai matlamat tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Terengganu Inc Bersama Menteri Besar di Permai Hotel, Kuala Terengganu, malam tadi.


Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif TI, Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak.

Pada majlis itu, beliau juga mengumumkan kakitangan Kumpulan TI bakal menerima bonus sempena menyambut kedatangan Aidilfitri tahun ini. Bagaimanapun kadarnya akan ditentukan kelak.

"InsyaAllah,kita akan berikan bonus kepada semua kakitangan anak-anak syarikat untuk nembolehkan mereka menikmati situasi lebih baik pada hari raya nanti,"katanya.