Penerima Rumah Baiti TH mempamerkan replika kunci rumah yang diterima. |
Seramai sembilan dari 11 penerima Rumah Baiti Tabung Haji (TH) terpilih di daerah ini menerima kunci rumah masing-masing dalam majlis penyerahan di Kampung Telaga Papan, Setiu, semalam.
Projek Rumah Baiti TH yang dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri Terengganu memperuntukkan bantuan berjumlah RM550,000 bagi membina rumah asnaf yang dipilih melalui senarai asnaf yang layak menerima bantuan.
Majlis perasmian penyerahan rumah-rumah berkenaan dilakukan oleh Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir.
Manakala majlis penyerahan kunci dilakukan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato' Badlisyah Abdul Ghani.
Pegawai Daerah Setiu, Rosdi Awang berkata, projek membina rumah itu bermula September 2016 dan siap sepenuhnya pada September tahun lalu.
"Terima kasih kepada Tabung Haji atas sumbangan Rumah Baiti ini dan ianya akan memberi keselesaan kepada keluarga penerima," katanya.
Projek Rumah Baiti merupakan satu Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TH bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk membaikpulih atau membina semula rumah kediaman mereka.
Rumah Baiti TH yang diserahkan hari ini. |
Program ini memperlihatkan keprihatinan TH sebagai sebuah institusi Islam yang utuh dalam melestarikan ekonomi ummah khususnya golongan asnaf.
Sementara itu, suami kepada seorang penerima, Zulkifli Abdul Rahman, 57, dari Kampung Telaga Papan, bersyukur kerana mendapat rumah baru.
"Terima Kasih kepada TH dan kerajaan negeri atas pemberian rumah ini kerana ialah lebih selesa berbanding rumah lama saya yang akan digunakan untuk seorang anak saya yang sudah berkeluarga," katanya.
Turut hadir, Pengarah TH Negeri Terengganu, Dato' Haji Mohyen Bin Haji Mosman.