Halaman

08 June 2018

TNB Dalam Proses Ambil Alih Tanah

Mohd Nazri melayan pengamal media pada Majlis Berbuka Puasa TNB Bersama Media. Foto Harish Fadzillah Kassim.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini dalam proses pengambilan tanah bagi pembinaan bangunan berkembar setinggi 19 tingkat di kawasan Kuala Terengganu City Centre (KTCC) di sini.

Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) TNB negeri, Mohd. Nazri Puteh berkata, pembangunan di tapak komersial berimpak tinggi seluas 0.971 hektar itu dijangka bermula tahun ini membabitkan kos melebihi RM100 juta.

Katanya, walaupun berlaku peralihan kuasa di Terengganu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu namun ia tidak menjejaskan pelaksanaan projek yang telah dirancang, yang sekali gus bakal merubah landskap bandar raya Kuala Terengganu kelak.



"Setakat ini kita sudah berbincang dengan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya dan seterusnya, beliau (A.Rahman) akan berunding dengan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

"Jika semuanya berjalan lancar dan kedua-dua pihak selesai memeterai memorandum persefahaman (MoU), saya fikir tahun ini kita boleh mulakan pembinaan bangunan berkembar itu," katanya kepada pemberita dalam majlis berbuka puasa bersama media di salah sebuah hotel di sini semalam.

Bangunan berkembar TNB Terengganu yang dijangka siap dalam tempoh 30 bulan itu bakal menempatkan pejabat di samping kemudahan hotel, dewan persidangan dan pusat beli belah.

Menurut Mohd. Nazri, reka bentuk bangunan berkembar itu merupakan yang pertama seumpamanya bagi cawangan TNB di peringkat negeri.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu kes kecurian kabel terutama di kawasan pencawang TNB berjaya dikurangkan hasil daripada rondaan strategik yang dipertingkatkan di bawah jabatan perkhidmatan keselamatan, selain kerjasama erat dengan pihak polis.

"Kita telah mengenalpasti tempat-tempat yang agak terdedah dan peronda kita telah buat jadual supaya rondaan dilaksanakan secara strategik bagi mengelakkan kejadian berulang.

"Kawasan sasaran pencuri adalah di luar bandar dan perumahan terbengkalai yang jauh dari penglihatan orangramai," katanya.