Halaman

05 June 2018

Kerajaan Negeri Sedia Terima Pandangan, Kritikan

Dr. Ahmad Samsuri ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Pegawai Tadbir Negeri di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail
Kerajaan negeri sentiasa bersedia menerima sebarangan pandangan dan kritikan daripada mana-mana pihak demi kepentingan rakyat khususnya dan negeri amnya.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, anggota pentadbiran kerajaan mahupun rakyat berhak untuk membuat kritikan yang bertujuan memberi kebaikan kepada corak pentadbiran kerajaan kini.

“Kita hendak ubah satu paradigma pemikiran bahawa ‘The Boss Is Always Right’. Pada saya, itu adalah satu pandangan yang silap. Kita bekerja dalam satu pasukan dan bila dalam satu pasukan, setiap diantara kita daripada bawah sampai ke atas termasuklah menteri besar haruslah berada dalam keadaan minda yang bersedia untuk terima sebarang pandangan mahupun kritikan.



“Sepanjang perjalanan kita memerintah kerajaan, ada perkara-perkara yang kita terlepas pandang yang mungkin disedari oleh anggota pentadbiran yang lain termasuklah rakyat sendiri yang melihat kelemahan, kekurangan dan penambahbaikan yang boleh dibuat,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Pegawai Tadbir Negeri di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, anggota pentadbiran kerajaan termasuk pegawai tadbir negeri dan rakyat berhak menyuarakan pandangan dengan cara yang baik bagi mencapai objektif kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah dan membina Negeri Terengganu kearah yang lebih baik dengan penuh kasih sayang.

“Akan ada satu pihak yang beri pandangan dan satu pihak terpaksa menerima pandangan dan saya selaku menteri besar yang dilantik di Negeri Terengganu ini dengan terbuka hati bersama dengan anggota pentadbiran kerajaan, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli-Ahli Parlimen, InsyaAllah kami akan menjadi kumpulan yang bersedia untuk menerima pandangan mahupun kritikan demi kesejahteraan rakyat dan negeri,” ujarnya.