Halaman

06 June 2018

Kerajaan Pimpinan Pas Selesaikan Agihan Dana Bakti Remaja

Wan Sukairi ketika sidang media selepas mesyuarat mingguan exco, hari ini. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim.
Kerajaan negeri akan menyelesaikan 16,289 penerima Dana Bakti Remaja yang belum menuntut bayaran itu di seluruh Terengganu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri pimpinan Pas mahu memastikan pengagihan dana yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu diteruskan sebagai kesinambungan kebajikan dan kebaikan rakyat Terengganu. 

Katanya, daripada keseluruhan 117,284 penerima dana berkenaan, 100,995 penerima sudah menebusnya sehingga 9 Mei lalu. 


“Ada beberapa berita gembira untuk rakyat Terengganu. Yang pertama adalah mengenai Dana Bakti Remaja yang diagihkan sebelum PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) oleh kerajaan terdahulu (Barisan Nasional), yang mana sebahagian besar sudah terima dan sebahagiannya lagi belum terima.


“Kami membuat keputusan dalam mesyuarat exco sebentar tadi untuk meneruskan pengagihan dan pihak Yang Berhormat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) masing-masing bersama pihak Pejabat Daerah akan mengagihkan dalam seberapa segera dan akan diagihkan sebelum menyambut hari raya Aidilfitri ini,"katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media sebagai mewakili Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar selepas mesyuarat mingguan exco, di Wisma Darul Iman, hari ini. 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah.