Oleh : AIDA ABD RAHMANJika kaum lain menganggap orang Melayu mengagihkan kekayaan untuk golongan Melayu sahaja, mereka seharusnya membuat perhitungan dengan teliti dan teratur tanpa membuat anggapan yang tidak berasas.
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata demikian ketika berucap sebagai tamu khas program perhimpunan Melayu Bangkit anjuran Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak), di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini (14 Jun).
Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Ahmad said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Gertak, Encik Razali Idris serta lebih 2,000 wakil badan bukan kerajaan (NGO).
Tun Dr Mahathir berkata, kaum Melayu merupakan kaum majoriti di Malaysia dan sejarah membuktikan Melayu adalah penduduk asal negara sebelum kedatangan kaum minoriti yang lain.
Menurut beliau, jika selepas merdek, kita masih berkuasa menaikkan sedikit kedudukan kaum Melayu, hari ini apa yang `sedikit’ yang terdapat pada kita itu pun hendak dilucutkan kerana didakwa tidak adil.
“Kalau dibuat perhitungan secara terperinci dan teratur siapa yang mendapat nikmat yang banyak atas kemerdekaan negara ini? Jangan kita sekaligus sahaja dengan dakwaan tertentu yang berkata orang Melayu mengambil terlalu banyak untuk diri mereka. Itu anggapan mereka . Sila buat perhitungansecara saintifik, tersusun dan teratur mengenai kekayaan negara kita, peluang yang terdapat dalam negara kita ini. Benarkan orang Melayu rebut segalanya bagi diri mereka?” kata Tun Mahathir lagi.
Malah, apabila disebut mengenai perkara itu, kaum Melayu pasti dianggap bersifat perkauman, bagaimanapun beliau menafikan dakwaan itu kerana agihan tidak boleh dilaksanakan sama rata, sebaliknya perlu dibuat secara adil dan mereka yang ketinggalan hendaklah diberi peluang berbanding mereka yang sudah berjaya, bagi mengelak jurang ketara antara golongan miskin dan kaya.
“Kita tidak harus salahkan sesiapa, kita harus salahkan diri kita sendiri. Kita yang menjadi majoriti dalam negara kita, sekarang ini sudah menjadi `minoriti’ . Dalam sistem demokrasi, puak minoriti tidak akan berkuasa, kita sebagai puak minoriti sudah hilang peluang kita untuk terus berkuasa dalam negara kita,” katanya.
Tun Dr Mahathir, berkata mungkin benar ada segelintir pendapat mengatakan jika negara dikuasai orang lain akan bertambah maju sebagaimana Singapura, yang dulunya milik Johor dan negeri Melayu, tetapi kerana tawaran wang negeri itu sanggup dijual kepada pihak British.
Akhirnya Singapura menjadi negari yang berasingan daripada kita, di mana penduduknya Melayunya hanyalah 15 peratus dan selebihnya pula dikuasai oleh kaum lain. Apabila kita menjadi minoriti dan lemah pastinya kita pula akan dikuasai pihak lain, kata Tun Mahathir lagi.
Di sebalik kemajuan Singapura kerana pemerintahan yang cekap, bagaimana pula kedudukan dan nasib kaum minoriti (Melayu) itu kini.
Kaum Melayu di negara ini juga akan menerima kesan yang sama sekiranya tidak lagi berkuasa kerana pihak lain tidak akan menjaga kepentingan kita.
“Kita bukan kata mereka mengutamakan kaum mereka. Tidak (benar dakwaan itu). Mereka tidak sesekali mengutamakan kaum mereka . Hanya mereka utamakan ialah siapa yang memiliki kebolehan yang lebih, merekalah yang berhak mendapat peluang dan mereka yang tidak mempunyai kebolehan tidak harus diberi peluang supaya (mereka) dapat meningkatkan taraf mereka . Inilah yang dipanggilkan meritokrasi.
“Tak payah sebut agama, bangsa ataupun apa, hanya disebut meritokrasi. Saya sedih terpaksa mengakui bahawa kalau kita membuat agihan di negara kita mengikut meritokrasi iaitu memberi kelebihan kepada mereka yang lebih baik, lebih boleh, maka saya fikir orang Melayu tidak akan berjaya,” katanya.
Oleh itu, katanya, kaum Melayu akan ketinggalan dan apabila ketinggalan mereka tidak akan menguasai kuasa dalam negara sekaligus gagal menolong kaum mereka .
Tun Dr Mahathir berkata, akibatnya kemerosotan akan berterusan dan jika hari ini kita menganggap memberi biasiswa kepada orang Melayu sebagai tidak adil, pastinya cerdik pandai yang ada tidak mampu menempatkan diri di tempat sepatutnya jika kita tidak memberi peluang yang lebih kepada mereka.
Sebelum itu, Tun Dr Mahathir melahirkan rasa kesal apabila pada 1998 ada individu yang mempunyai tabiat tidak baik dan tidak sesuai untuk terus memimpin negara kita, maka dia telah disingkir dan menyertai parti lawan yang lain serta membawa pendapat supaya parti lain bergabung untuk menentang parti Umno.
“Oleh itu, apabila kita perhitungkan apabila 60 peratus pengundi terdiri daripada orang Melayu, tetapi oleh kerana mereka terbahagi kepada tiga sekarang ini, sebenarnya peratusan mereka sudah jadi amat kecil, boleh dikatakan 20 peratus sahaja bagi tiap-tiap parti, dan 20 peratus tiap-tiap parti ini melawan sesama mereka menjadikan orang Melayu ini puak minoriti dalam negara ini.
“Inilah yang berlaku hasil daripada keinginan untuk merebut kuasa yang diutamakan bukan perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air sebaliknya untuk mendapatkan kuasa walau dengan apapun alat yang digunakan asalkan dapat menjadi Perdana Menteri,” katanya.
TEGANUKITA