Halaman

23 June 2010

Mata pena lebih tajam dari pedang - Dato' Ahmad

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said menyifatkan wartawan di zaman dahulu merupakan pejuang bangsa dan tanah air yang menjadikan bidang berkenaan sebagai landasan perjuangan.

Menurutnya tulisan wartawan pada waktu itu berjaya menumbangkan rancangan penjajah menubuhkan Malayan Union dan sekaligus membangkit kesedaran kemardekaan.

“Wartawan adalah golongan yang boleh mengubah suasana politik dan membawa pemikiran masyarakat ke arah yang lebih baik dan menguntungkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Malam Persatuan Wartawan Terengganu
(Pewarta) di kediaman Menteri Besar, Seri Iman, Kuala Terengganu.

Kira-kira 400 orang tetamu hadir termasuk kalangan pengamal media, pegawai kanan kerajaan dan jemputan khas.

Dato’ Ahmad juga menyeru supaya wartawan sentiasa berpadu di kalangan mereka dan menunjukkan contoh teladan yang baik kepada masyarakat, sebelum mahu mendidik masyarakat ke arah tersebut.

“Jika kita bersatu, suara dan perjuangan kita menjadi lebih berkesan ,” katanya.
Ia ibarat ‘lidi seberkas’ lebih kuat dan sukar dipatahkan berbanding dengan ‘lidi sebatang, tegasnya

Dato’ Ahmad berkata sebagai wartawan mereka adalah kumpulan istimewa kerana pena atau tulisan mereka lebih tajam daripada mata pedang.

“Bagaimanapun janganlah kemahiran yang ada pada wartawan digunakan untuk memfitnah, berbohong dan menjatuhkan orang yang tidak berdosa, “ pesannya.

Dalam majlis itu beberapa orang wartawan veteran menerima anugerah wartawan, termasuklah Haji Endut Ali, Wahba, Haji Mohamad Jusoh, Haji Embong Mohamad dan Wan Ahmad Ismail (penulisan skrip drama pentas).

Dalam majlis itu, pelancaran buku-buku mengenai Terengganu (26 judul) yang dihasilkan oleh wartawan dan penulis Terengganu serta sebuah majalah turut dilakukan oleh Menteri Besar.

Dato’ Ahmad juga telah menerima anugerah khas Presiden Pewarta dalam majlis itu di atas perjuangannya yang penuh liku-liku bagi membangunkan rakyat dan negeri Terengganu.

TEGANUKITA