Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), dijangka akan membangunkan 35 buah ladang yang melibatkan 36,000 ekor kambing menjelang 2015 di negeri ini.
Dijangkakan 216 tan daging kambing bakal diperolehi dalam projek yang akan dilaksanakan ini.
Perkara ini diberitahu oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Dato’ Jebasingam Issace John melalui siaran akhbar sempena majlis menandatangani perjanjian kerjasama ECERDC dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Wisma Darul Iman, semalam (14 Jun).
Katanya sebanyak 12,620 ekor kambing jenis Boer disasarkan oleh ECER dalam tempoh lima tahun pertama projek ini sekaligus akan menjadi asas permulaan yang penting bagi merealisasikan program pembiakan kambing Boer di Terengganu pada masa hadapan.
Sebagai langkah permulaan, ECERDC akan membekalkan sebanyak 530 ekor kambing baka asli kepada JPV dan akan diserahkan kepada Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn. Bhd (TADC) bagi tujuan pembiakan, manakala baki selebihnya, sebanyak 1,590 ekor kambing akan ditempatkan di ladang komersil.
Dato’ Jebasingam Issace John juga berkata, “Salah satu objektif utama kerjasama ini adalah bagi mewujudkan program penternakan kambing yang sistematik dan mampan bagi meningkatkan pengeluaran kambing di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER)”.
Selain menandatangani perjanjian kerjasama dengan JPV dan MARDI, pada masa sama ECERDC mengadakan perjanjian komersil bersama TADC disaksikan oleh Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.
Usahasama ini diharap akan dapat menjayakan lagi program penternakan kambing di Terengganu dan menjadikan negeri ini sebagai salah sebuah pengeluar kambing terbesar di Malaysia kelak, katanya.
Di bawah perjanjian ini, ECERDC bertindak dalam menyediakan kemudahan infrastruktur bagi Pusat Pembiakan dan Inovasi Kambing di Ulu Tersat, yang merangkumi Kompleks Penyelidikan dan Pembangunan, Ladang Nukleus, Kompleks Komersil, kilang makanan dan lima Ladang Pengganda.
Tambah beliau, pembinaan Pusat Pembiakan dan Inovasi Kambing Kuala Berang dijangka akan bermula pada Ogos ini dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang.
Sementara itu, JPV akan menyediakan perkhidmatan veterinar dan kepakaran mereka dalam projek ini, manakala MARDI pula akan melaksana dan menjalankan kerja-kerja penyelidikan serta pembangunan pembiakan bagi memastikan objektif projek ini berjaya dicapai.
Bagi tujuan ini juga, TADC akan mengendalikan dan menguruskan secara komersil operasi sebuah ladang Pengganda Kambing di Pusat Pembiakan dan Inovasi Kambing Kuala Berang, dan sebuah ladang komersil di Telaga Papan, Setiu.
Dato’ Ahmad (Menteri Besar) ketika mengulas berkaitan perkara tersebut selepas majlis menandatangani perjanjian itu berkata, kerajaan negeri yakin projek itu akan memberi impak yang tinggi kepada pembangunan ekonomi negeri dan rakyat negeri ini.
TEGANUKITA