Oleh : KAMARUDIN B MAT AKIB
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Abdul Razif Abdul Rahman. - Gambar oleh Zulkipli Putra.Langkah Kerajaan Terengganu menghantar guru-guru melawat ke luar negara sebagai insentif kejayaan sekolah masing-masing mengukir kejayaan dalam pelbagai peperiksaan awam, bukan setakat lawatan untuk tujuan berseronok sahaja.
Sebaliknya, guru-guru tersebut akan dibawa melawat ke sekolah-sekolah yang telah menempa kejayaan di negara yang dilawati, bagi menimba pengetahuan dan pengalaman untuk kebaikan pelajar masing-masing, selepas pulang ke tanah air.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Abdul Razif Abdul Rahman, berkata lawatan sambil belajar yang dianjurkan kerajaan neegri itu merupakan langkah ‘serampang dua mata’ yang bertujuan membawa mereka melancong dan menuntut ilmu.
“Kita bawa guru-guru melawat ke luar negara sebagai insentif atas kejayaan mereka mendidik para pelajar dan pada masa yang sama mereka berpeluang mempelajari teknik mengajar yang diamalkan pendidik di negara-negara maju,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui baru-baru ini.
Sebelum ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengumumkan memandangkan Terengganu mendapat tempat pertama dalam peperiksaan STPM, kerajaan negeri akan menghantar 30 guru besar atau penolong kanan dari sekolah yang ada pelajar mengambil peperiksaan itu ke luar negara, sebagai hadiah galakan.
Beliau berkata, 50 guru besar dan penolong kanan dari sekolah yang mendapat keputusan terbaik dalam Ujian Pencapaian Sekolah rendah (UPSR) tahun lepas juga akan dihantar ke luar negara.
Setakat ini kerajaan negeri memutuskan untuk menghantar 110 guru besar atau penolong kanan ke luar negara kerana kecemerlangan pelajaran.
Kerajaan negeri menghantar guru besar dan pengetua dari sekolah yang mencatat keputusan terbaik dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM dua tahun lalu, bagi menghargai jasa-jasa mereka membantu meningkatkan kecemerlangan bidang pendidikan di Terengganu.
Menteri Besar berkata, jika Terengganu mengekalkan tempat pertama bagi keputusan SPM yang akan diumumkan dua hari lagi, 30 guru lagi akan dihantar ke luar negara, menjadikan jumlahnya 140 orang.
YB Haji Abdul Razif berkata, setakat ini negara yang bakal dilawati masih belum diputuskan dan ia mungkin diumumkan Menteri Besar tidak lama lagi.