Halaman

10 March 2011

HSNZ pusat pengesahan ATS pertama di Pantai Timur

Oleh: Esah Abdullah



Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menjadi pusat pengesahan Amphetamine Type Simulant (ATS) pertama di Pantai Timur dan kedua di negara ini selepas Hospital Kuala Lumpur.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, kerajaan negeri memperuntukan RM1.5 juta untuk menaiktaraf makmal dadah di Jabatan Patologi di HSNZ.

“Kos berkenaan juga meliputi penyediaan Perkhidmatan Ujian Pengesanan ATS iaitu untuk pengubahsuaian makmal dan pembelian peralatan,” katanya.

Katanya, usaha ini bertepatan dengan hasrat kerajaan memerangi jenayah penyalahgunaan dadah di negeri ini yang semakin membimbangkan.

“Kewujudan perkhidmatan pengesanan ATS ini dapat membantu agensi-agensi terlibat terutamanya pihak polis mempercepatkan kes-kes penyalahgunaan dadah terutamanya jenis ATS,” katanya.



Menurut Dr. A. Rahman, setiap tangkapan kes yang memerlukan ujian pengesahan terpaksa dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur dan ini mengakibatkan tertuduh terpaksa direman lebih lama di lokap sementara menanti keputusan ujian mengakibatkan banyak kes tertangguh.

“Dengan adanya perkhidmatan ini, diharap dapat membantu mempercepatkan penyelesaian kes penyalahgunaan dadah dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan masalah berkenaan.



KUT siap tahun depan

Oleh: Suriati Ali

Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) yang bakal dibina di Kampung Kubang Jela, Manir membabitkan peruntukan RM26 juta dijangka siap akhir tahun depan.

Apabila siap kelak, ia bakal menjadi pusat sehenti bagi memenuhi keperluan usahawan termasuk mendapatkan segala maklumat dan kemudahan dalam urusan perniagaan.

Kompleks setinggi tiga tingkat ini akan menyediakan ruang niaga untuk disewa, bilik pameran dan pusat pengeluaran moden dan tersusun.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, YB Dato’ Haji Mohamed Awang Tera, berkata kerajaan negeri menjanjikan kelainan dalam konteks pembangunan sektor keusahawanan dan pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) di Terengganu.

“Ia bakal menjadi pemangkin kewujudan pusat pertumbuhan baru di kawasan ini dengan kedudukannya yang strategik berhampiran jalan baru menghubungkan Losong, Kubang Jela, Jeram dan Gemuruh,” katanya.

Dato’ Haji Mohamed berkata, separuh daripada KUT yang terletak 16 kilometer dari pusat bandar ini akan diubahsuai untuk menempatkan T' Hotel bertaraf tiga bintang dengan kapasiti 99 buah bilik.

"Dengan kadar RM90 sehingga RM220 sehari, hotel ini mampu menyelesaikan masalah kekurangan tempat penginapan bagi menjana sektor pelancongan di Terengganu serta mewujudkan lebih 80 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

“Manakala sebahagian lagi KUT, akan menempatkan ruang pameran, pusat batik, pusat reka bentuk, pusat kraftangan, pusat kajian produk serta konsep kedai francais dan kedai khusus untuk mengkomersialkan produk tempatan," katanya.

Katanya, kompleks ini bakal beroperasi seperti sebuah 'mall' dan dapat membantu pengusaha tempatan dari segi penjenamaan dan pemasaran produk mereka.

"Inisiatif ini diharapkan dapat membantu usahawan tempatan dalam menangani masalah mendapatkan premis yang sesuai untuk mereka serta meningkatkan daya maju," katanya




Kerajaan Negeri Menaja Penerbangan Balik Pelajar ke Mesir

Oleh: Raja Faisal dan Mohd Shahrir


Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Samsuddin bin Sulong dan Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar, Kamaruddin bin Omar ketika bermesra dengan pelajar Mesir.

Kerajaan negeri bakal menguruskan penghantaran kumpulan pertama yang terdiri daripada 293 pelajar ke Mesir yang di jangka 15 Mac ini.

Kebanyakan pelajar bidang perubatan itu akan dihantar dengan menaiki pesawat MAS dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada pukul 10 pagi ke KLIA sebelum di terbangkan terus ke Mesir mengunakan “Charter fly EGL”.

Penerbangan pulang pelajar kumpulan kedua dijadualkan pula pada akhir Mac atau awal April ini.

Pesawat dijangka mengambil kumpulan pelajar Terengganu yang menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum dijangka bertolak ke Mesir, kira-kira jam 5 petang.

Perkara itu diputuskan hasil pertemuan sebahagian pelajar terlibat dengan wakil Pengarah Yayasan Terengganu dan pegawai kanan di pejabat Menteri Besar di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, petang ini (10 Mac).

Hadir sama, Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar, Kamaruddin bin Omar, Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Samsuddin bin Sulong dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Tajaan Yayasan Terengganu,Encik Razali Mahmud.

Pertemuan itu memberi peluang kepada pelajar untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi bagi memastikan proses penghantaran balik berjalan lancar sebelum tiba waktu sebenar penerbangan.

Kos penghantaran pulang yang diperuntukan hampir RM6,000 seorang ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri bagi memastikan pelajar sampai ke Mesir tepat pada masa yang dirancang.

Pelajar perubatan tahun lima, Universiti Mansurah, Wan Mohd Syazani Al Faruki Wan Mazlan melahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan negeri serta kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said kerana menaja kos penghantaran pulang ke Mesir.

“saya amat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana hasrat meneruskan pengajian terlaksana melalui usaha keras kerajaan negeri dalam memastikan anak jati Terengganu dapat meneruskan pengajian dengan lancar sekaligus hasrat melahirkan lebih ramai doktor perubatan dapat dicapai”, kata pelajar berusia 23 tahun itu.

Bagi pelajar tahun empat dari bidang perubatan, Ainshaw University Mesir Wan Nadiah Izzah bt Wan Mohammad Nor pula, merasa amat berbangga dengan kerajaan negeri yang begitu menitik berat kebajikan dengan pelbagai kemudahan dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri agar pelajar selesa dan pulang dengan selamat ke Mesir.




YPU sedia RM8 juta untuk buka 100 T’Shoppe

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Pembangunan Usaha (YPU) menyediakan peruntukan RM8 juta untuk membuka 100 cawangan T'Shoppe menjelang tahun 2013 di seluruh Malaysia di mana pada masa kini, terdapat 20 rangkaian itu termasuk tiga T’Shoppe di luar Terengganu.

Pengurus Besar YPU, Encik Azmi Razik, berkata jumlah kutipan jualan T’Shoppe bergantung kepada keadaan semasa dan lokasi. Kebiasaanya memperoleh antara RM1,500 hingga RM3,500 sehari.

Katanya, T’Shoppe Kuala Berang antara rangkaian yang paling laris dan mendapat pandapatan kasar lebih RM100 ribu sebulan.

“Pelbagai jenis makanan tradisional terdapat di T’ Shoppe bagi memudahkan pelancong tempatan dan luar negara mendapat produk Terengganu.

“Langkah yang dilaksanakan ini nyata dapat membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memasarkan produk masing-masing di mana sebelum ini sukar untuk berbuat demikian kerana mendapatkan syarat ketat dari pasar raya ternama tempatan,” katanya.

YPU turut melaksanakan program `Satu Kampung, Satu Koperasi’ di mana menyasarkan 600 koperasi dengan keanggotaan seramai 500,000 individu.

Pada masa sekarang sebanyak 438 koperasi telah didaftarkan di seluruh Terengganu dengan keahlian 241,109 orang. Ia dijangka mampu menyumbang dua peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri.




PM bantu gempur Dun Manir, Bukit Tunggal

Oleh:Kamarudin Mat Akib

Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan membantu Umno Terengganu menggempur kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir dan Bukit Tunggal, akhir April ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya akan mengadakan majlis pemimpin bersama rakyat yang melibatkan kehadiran pemimpin nombor satu negeri itu di dua kawasan yang diwakili pembangkang bagi menyemarakkan gerak kerja Umno.

Beliau berkata, Umno kini nekad untuk merebut kembali dua kawasan tersebut serta enam lagi kawasan lain yang turut dimenangi Pas pada pilihan raya umum lalu.

Enam kawasan DUN lain ialah Batu Buruk, Ladang, Bukit Payong, Sura, Wakaf Mempelam dan Rhu Rendang.

Dato' Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, program pemimpim bersama rakyat di DUN Manir dan Bukit Tunggal merupakan sebahagian daripada jadual sempena lawatan Perdana Menteri dan isteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, ke Terengganu pada 30 April ini.

Lawatan ini amat bermakna kepada Terengganu di bawah pimpinan Dato’ Seri Haji Ahmad selaku Menteri Besar kerana genap tiga tahun beliau menerajui Terengganu pada akhir Mac ini.

“Kita akan gempur kawasan tersebut habis-habisan supaya ia dapat dipulangkan semula ke pangkuan Umno,” ujar Menteri Besar ketika merasmikan persidangan berkelompok Umno cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, malam tadi (9 Mac).

Beliau berkata, Umno Terengganu akan mengadakan program-program penerangan isu-isu semasa dan pelbagai kegiatan lain di kawasan tersebut bagi memastikan Umno dapat merampas semula kerusi berkenaan pada pilihan raya umum akan datang.



Usah taksub dengan golongan mahu pecah belah umat Islam

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Umat Islam di negeri ini diingatkan supaya tidak taksub dengan golongan tertentu yang mahu memecah-belahkan umat bagi kepentingan mereka untuk merebut pemerintahan negara ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata golongan berkenaan sanggup melakukan apa saja termasuk menghancurkan umat Islam, dapat dicapai.
“Sebagai umat Islam kita perlu berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar dan mengikut pedoman yang disaran oleh Rasulullah s.a.w supaya kita selamat di dunia dan akhirat,” katanya pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Kemaman di Padang Astaka, Chukai, hari ini (10 Mac).

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek dan pemimpin UMNO bahagian.

Majlis itu turut diserikan dengan cabutan bertuah selepas selesai perarakan di mana pelbagai hadiah menarik berupa barangan elektrik, basikal dan toto disediakan pihak penganjur.

Kira-kira 23,000 orang menyertai perarakan yang bermula di padang berkenaan dan mengelilingi Bandar Chukai serta berakhir di tempat yang sama.

Menteri Besar meminta umat Islam supaya bersatu dan menghayati tema sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini iaitu “1Malaysia 1Ummah”, serta tidak keliru dengan hasutan pihak tidak bertanggungjawab.





Pohon bantuan melalui saluran yang betul-YB Yahya

Oleh: Aida Abd Rahman

Sikap segelintir individu yang tidak gemar bergaul dan meminggirkan diri daripada menyertai komuniti di kampung menjadi punca mereka tidak mengetahui saluran yang tepat bagi mendapatkan pelbagai bantuan kebajikan yang disediakan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib Mohamad, berkata golongan itu lazimnya lebih gemar membawa haluan sendiri dan langsung tidak mahu terlibat dalam pelbagai program kemasyarakatan dengan anggapan penyertaan itu tidak memberi apa-apa faedah kepadanya.
“Kadangkala golongan yang memerlukan datang berjumpa terus dengan kita dan minta bantuan tertentu. Walhal mereka ada saluran yang betul sama ada menemui Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan pejabat Penyelaras Dun masing-masing yang akan memberi khidmat dan menerangkan cara permohonan diuruskan,” katanya ketika ditemui Teganukita, semalam (9 Mac).

Katanya, pelbagai bantuan dan peruntukan yang disediakan kerajaan negeri untuk meringankan bebanan rakyat yang ditimpa kesusahan dan penyakit termasuk Tabung Darul Iman, Tabung Penyakit Kronik dan Program Bantuan Rumah sama ada bina baru atau baik pulih.

Pada masa yang sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga menyediakan bantuan am berdasarkan beberapa kategori yang boleh dipohon berdasarkan syarat tertentu.

Beliau berkata, kes-kes bencana alam seperti ribut, kebakaran dan banjir adalah kejadian yang memerlukan tindakan segera dan perkara itu akan dirujuk di bawah Tabung Darul Iman.

Menurutnya, tabung itu mampu menangani had peruntukan jabatan yang terhad serta mengelakkan sebarang prosedur yang ketat berbanding bantuan-batuan lain.

Sementara Tabung Penyakit Kronik pula, katanya diwujudkan sejak tahun lalu dengan peruntukan RM10 juta untuk kes rakyat yang menderita penyakit kronik dan kritikal dan tidak berkemampuan mendapatkan rawatan yang sepatutnya disebabkan kekangan sumber kewangan.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kesihatan contohnya, walaupun mempunyai berbagai skim bantuan untuk golongan miskin dan yang memerlukan, namun dua jabatan itu mempunyai skim bantuan dan kadar maksimum bantuan yang terhad,” katanya.

YB Yahya berkata, berdasarkan kelemahan dan kekurangan itu, Kerajaan Terengganu mengambil langkah segera bagi menanganinya dengan menubuhkan Tabung Penyakit Kronik yang sudah melibatkan 230 pemohon dengan perbelanjaan kira-kira RM358,000 sehingga Februari lalu sejak tabung itu diperkenalkan.




JPNINT sedia insuran kepada peronda SRS

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri menjangkakan lebih banyak Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dapat diwujudkan di kampung-kampung untuk memberi khidmat serta mengawal keselamatan penduduk tempatan.

“Sehingga akhir tahun lalu terdapat 316 KRT seluruh negeri dengan penyertaan 300,000 anggota masyarakat yang melaksanakan 17,090 aktiviti,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar.

Selain itu katanya, 194 SRS dengan 3,280 anggota peronda berjaya ditubuhkan sehingga akhir tahun lalu yang memberi impak besar kepada kehidupan bermasyarakat serta dapat mengeratkan perpaduan kalangan penduduk setempat.

Katanya, melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Intergasi Nasional Terengganu (JPNINT), dianggarkan 85 KRT dan 102 SRS lagi dapat diwujudkan tahun ini.

“Jawatankuasa RKT dan peronda SRS dilindungi insuran dan JPNINT telah melantik Syarikat Takaful Malaysia mengendalikan sebarang kes kemalangan atau kematian ketika menjalankan tugas,” katanya.

Katanya, terdapat enam skim perlindungan antaranya kematian akibat kemalangan (RM20,000) kailatan kekal/menyeluruh akibat kemalangan (RM20,000), elaun hospital akibat kemalangan sebanyak RM50.00 sehari dan maksimun 30 hari.

“Tuntutan juga boleh dibuat bagi perbelanjaan hospital (akibat kemalangan) sebanyak RM1,000, khairat kematian akibat kemalangan dan kematian penyakit biasa (RM1,000),” katanya.

Katanya, skim ini dilindungi 24 jam di seluruh negara kecuali negara yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.




Produk makanan Terengganu diterima di Timur Tengah

Oleh: Aida Abd Rahman


Dato' Mohamed Awang Tera mengadakan perbincangan dengan Oman Chamber of Commerce & Industry.

Penyertaan Terengganu ke Pameran Gulfood 2010, Dubai 2011 bakal membuka lembaran baru dalam sektor makanan yang melibatkan industri kecil sederhana (IKS) apabila respon yang menggalakkan diterima daripada pengusaha makanan di seluruh dunia khususnya untuk pasaran Timur Tengah.

Sebanyak 120 respon positif melibatkan pengusaha makanan dari Emeriah Arab Bersatu, Kuwait, Iraq, Angola, India, Pakistan dan Swaziland diterima sepanjang ekspo tiga hari yang bermula 27 Februari itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata Terengganu menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) membawa lima pengusaha produk tempatan yang terdiri daripada kopi, `beef steak & grilled chicken’, roti canai segera, murtabak segera, minuman sarang burung, sardin dan susu krim.



Katanya, sebanyak 3,800 syarikat daripada seluruh dunia termasuk hampir 50 syarikat pengeluar makanan daripada Malaysia menyertai ekspo yang bertujuan meluaskan jaringan pemasaran produk IKS ke seluruh dunia terutama di negara Timur Tengah.

Beliau yang mengetuai penyertaan kali kedua Terengganu ke ekspo berkenaan berkata, respon yang diterima amat menggalakkan dan mencetus dimensi baru dalam merancakkan ekonomi negeri dan negara terutama melibatkan IKS.



“Rundingan lanjut dengan ejen dan pengusaha yang memberi respon baik kepada produk tempatan dan IKS Terengganu itu sedang dilaksanakan dengan terperinci menerusi pegawai YPU.

“Kita menjangkakan proses rundingan itu akan membawa kepada rundingan kontrak dan jualan dalam tempoh beberapa bulan dari sekarang dan produk Terengganu akan menembusi pasaran di seluruh dunia pada masa depan,” katanya.





23,000 sertai perarakan Maulidur Rasul daerah Kemaman

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengetuai perarakan Maulidur Rasul Peringkat daerah Kemaman yang disertai kira-kira 23,000 orang mewakili pelbagai agensi kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), orang perseorangan dan pelajar.

Kira-kira 3,000 kanak-kanak tadika daripada pelbagai agensi, turut menyertai perarakan yang bermula awal pagi ini (9 Mac).


Kira-kira 23,000 orang menyertai perarakan Maulidur Rasul Peringkat daerah Kemaman. - Gambar oleh Harish Fadzillah.

Turut menyertai perarakan itu, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang tera; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, Ir Rosli Othman; Adun Air Putih, Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar; Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid; Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohd Kamil Othman dan ketua-ketua jabatan.



Majlis sambutan Maulidur Rasul itu dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran, diikuti ucapan Pegawai Daerah serta Menteri Besar dan penutup penyampaian sijil penghargaan kepada mereka yang memberi sumbangan bagi menjayakan program berkenaan.



Sambutan turut diserikan dengan cabutan bertuah selepas selesai perarakan di mana pelbagai hadiah menarik berupa barangan elektrik, basikal dan toto disediakan pihak penganjur.



Selain kanak-kanak tadika, kira-kira 7,000 pelajar sekolah rendah dan menengah turut menyertai perarakan tersebut.