Halaman

10 March 2011

JPNINT sedia insuran kepada peronda SRS

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri menjangkakan lebih banyak Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dapat diwujudkan di kampung-kampung untuk memberi khidmat serta mengawal keselamatan penduduk tempatan.

“Sehingga akhir tahun lalu terdapat 316 KRT seluruh negeri dengan penyertaan 300,000 anggota masyarakat yang melaksanakan 17,090 aktiviti,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar.

Selain itu katanya, 194 SRS dengan 3,280 anggota peronda berjaya ditubuhkan sehingga akhir tahun lalu yang memberi impak besar kepada kehidupan bermasyarakat serta dapat mengeratkan perpaduan kalangan penduduk setempat.

Katanya, melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Intergasi Nasional Terengganu (JPNINT), dianggarkan 85 KRT dan 102 SRS lagi dapat diwujudkan tahun ini.

“Jawatankuasa RKT dan peronda SRS dilindungi insuran dan JPNINT telah melantik Syarikat Takaful Malaysia mengendalikan sebarang kes kemalangan atau kematian ketika menjalankan tugas,” katanya.

Katanya, terdapat enam skim perlindungan antaranya kematian akibat kemalangan (RM20,000) kailatan kekal/menyeluruh akibat kemalangan (RM20,000), elaun hospital akibat kemalangan sebanyak RM50.00 sehari dan maksimun 30 hari.

“Tuntutan juga boleh dibuat bagi perbelanjaan hospital (akibat kemalangan) sebanyak RM1,000, khairat kematian akibat kemalangan dan kematian penyakit biasa (RM1,000),” katanya.

Katanya, skim ini dilindungi 24 jam di seluruh negara kecuali negara yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.