Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman. - Gambar oleh Harish Fadzillah.
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan membiayai sebahagian kos tambang penerbangan 300 pelajar di bawah tajaannya kembali ke Mesir.
“Kita memperuntukkan RM450,000 dengan anggaran RM1,500 setiap pelajar terbabit,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman dalam sidang media di pejabat Maidam, Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu.
Katanya, Maidam akan membantu menguruskan permohonan visa dari Kedutaan Mesir kepada mana-mana pelajar yang belum berbuat demikian dan meminta mereka menghadirkan diri ke pejabat Maidam mulai 8 Mac jam 9 pagi.
Antara kemudahan yang disediakan kepada pelajar termasuklah menyediakan khidmat jurugambar, borang Visa, kos gambar dan caj permohonan Visa serta mengumpul dan mengurus permohonan Visa dengan pihak kedutaan.
“Pelajar juga diminta membawa bersama salinan muka depan Pasport Antarabangsa serta sebarang pengenalan lain seperti kad matriks bagi mengesahkan mereka adalah penuntut dari mana-mana IPT di Mesir,” katanya.
Haji Wan Harujan berkata Maidam akan membantu melicinkan urusan pelajar untuk kembali ke Mesir bagi menyambung pengajian mereka yang tertangguh akibat pergolakan politik di negara itu baru-baru ini.
Sebelum ini kerajaan negeri mengumumkan akan menyediakan penerbangan secara sewa khas melalui penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu ke Kaherah, Mesir.
Katanya, jadual penerbangan akan ditetapkan kemudian hasil perbincangan kerajaan negeri dengan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan Maidam akan guna penerbangan komersial jika penumpang penerbangan sewa khas penuh.
“Maidam juga turut menghantar seorang pegawai pengiring bagi memastikan kelancaran sepanjang perjalanan ke negara itu serta membantu urusan perjalanan ke destinasi masing-masing terutama pelajar tahun pertama yang belum biasa di negara berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, Maidam juga akan memberi RM100 kepada setiap pelajar yang belum mendapat bayaran tunai itu semasa mendarat ke Malaysia pada Februari lalu disebabkan pulang secara persendirian dan juga pulang melalui dua penerbangan terakhir yang diatur oleh kerajaan negeri.