YPU akan menubuhkan Pusat Pengumpulan Pemprosesan dan Pembungkusan di setiap daerah bagi melabel dan membungkus produk dengan lebih baik agar berdaya saing dengan produk lain. - Gambar hiasan oleh Zulkipli Putra.
Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu akan menubuhkan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (T’P3) di setiap daerah bagi membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) melabel dan membungkus produk dengan lebih baik.
Pengurus Besar YPU, Haji Azmi Razik berkata, usaha ke arah itu sudah dimulakan pertengahan tahun lalu dalam usaha membantu mereka agar lebih berdaya saing dengan produk-produk yang penampilannya setanding dengan jenama terkemuka.
Katanya, kaedah pelabelan dan pembungkusan yang tidak menarik menjejaskan keyakinan bakal pelanggan dan ini merupakan salah satu faktor melembapkan pasaran selain kurangnya promosi.
“Produk keluaran usahawan-usahawan IKS di negeri ini mempunyai mutu yang baik dan berpotensi untuk dikembangkan, namun kelemahan dalam pelabelan dan pembungkusan menyebabkan ia gagal mendapat sambutan.
“Justeru, kita akan menubuhkan T’P3 dalam membantu para usahawan di setiap daerah dalam hal ini,” katanya .
Beliau menambah, pembinaan T’P3 di Ajil, Hulu Terengganu yang sudah mula beroperasi awal tahun lalu nyata memberi kemudahan kepada usahawan tempatan.
“Kami juga sedang membina pusat berkenaan di Gong Kemuntong, Besut; Pulau Serai, Dungun dan Bukit Kor, Marang manakala di Kemaman akan dimulakan tidak lama lagi,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pusat membeli-belah terbaru di Hulu Terengganu, T’Mall akan dijadikan landasan pemasaran pelbagai produk usahawan tempatan apabila ia sudah siap nanti.
“Apabila T’Mall siap nanti, ia akan menjadi pemangkin dalam memacu dan mempertingkatkan promosi produk-produk usahawan tempatan,” katanya.