Halaman

07 March 2011

Rakyat tunjuk sokongan kepada PM – YB Kazan

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN) dalam dua Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan DUN Kerdau semalam membuktikan keyakinan tinggi rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Haji Kazan Che Mat, berkata keputusan itu juga secara jelas menunjukkan rakyat kembali menyokong kerajaan dan mengetepikan pelbagai janji manis yang disogok pihak pembangkang.

“Secara terbuka rakyat negara ini sudah kembali menyokong kerajaan dan mereka memahami segala perancangan masa depan kerajaan dan mereka mendapat penerangan mengenai dasar kerajaan dari sumber yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kemenangan besar calon BN dalam pilihan raya tersebut di mana Roslan Ahmad (BN-Merlimau) mendapat 5,962 undi setelah mengalahkan calon Pas, Yuhaizad Abdullah yang hanya mampu meraih 2,319 undi.

Manakala bagi bagi DUN Kerdau pula, Syed Ibrahim Syed Ahmad (BN) mendapat 5,060 undi dan mengalahkan calon Pas, Hassanuddin Salim yang menerima 2,336 undi.

Haji Kazan berkata, rakyat kini boleh menilai apa yang dilakukan Kerajaan Pusat, berbanding negara-negara lain, terutama yang dilanda krisis pentadbiran.

“Di Malaysia kita dapati jurang perbezaan ekonomi antara rakyat tidak terlalu tinggi seperti berlaku di negara-negara lain. Oleh itu, tidak berlaku rasa tidak puas hati antara pelbagai lapisan rakyat hingga timbul rasa ingin memberontak.

“Di sinilah kita lihat rakyat boleh menilai segala kebaikan yang dilakukan kerajaan negeri sejak dulu hingga sekarang dan dengan apa yang dilakukan Perdana Menteri hari ini, mereka semakin sedar perbezaan antara kerajaan dengan pembangkang,” ujarnya.