Halaman

09 March 2011

Menteri Besar bersama rombongan akan ke Cuba

Oleh: Suriati Ali


Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said menerima kunjung hormat Duta Cuba Ke Malaysia H.E Carlos A.Amores di pejabatnya di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said bersama rombongan akan mengadakan lawatan kerja ke Cuba dalam usaha menjalinkan kerjasama dan meninjau peluang pelaburan di negara itu.

Beberapa Proffesor berkaitan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniZA) dan Universiti Malaysia Terengganu akan turut serta dalam lawatan itu yang dijangka bertolak pada Mei atau Jun nanti.

Dato’ Ahmad berkata, bio-teknologi dan nano-teknologi adalah antara bidang utama yang menjadi tumpuan dalam kerjasama dua hala itu.

“Kerjasama dua hala dalam bidang berkenaan dibuat memandangkan Cuba adalah antara negara yang telah maju dalam kedua-dua bidang itu dan kita berharap ia dapat melonjakkan industri itu di Terengganu,” katanya.



Beliau berkata demikian selepas menerima Kunjungan Hormat Duta Cuba Ke Malaysia H.E Carlos A.Amores di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (9 Mac).

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak bersama isteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor dijangka hadir dalam Program Sehari di Terengganu pada 30 April ini.

Program Sehari itu adalah dalam siri lawatannya ke negeri-negeri seluruh negara dalam usaha mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.