Sungai Yak Yah unik dan mempunyai daya tarikan tersendiri di mana pelancong dapat melihat kerlipan cahaya kunang-kunang di kawasan ini. - Gambar oleh Zulkipli Putra.
Daerah Kemaman yang terletak di utara negeri Terengganu Darul Iman sememangnya terkenal di kalangan pelancong kerana terdapat banyak destinasi pelancongan menarik di sini.
Justeru itu, tidak hairanlah jika Bandar Cukai yang merupakan pusat pentadbiran daerah Kemaman, sering menjadi tumpuan pelancong domestik dan juga luar negara.
Sejak sekian lama, lokasi seperti Pantai Teluk Marina, Teluk Kalong, Teluk Mak Nik, Kemasik dan Kijal menjadi tumpuan pelancong, tetapi kini Kampung Yak Yah sudah mula menjadi sebutan pelancong.
Kampung yang berjiran dengan Taman Rekreasi Mini Zoo Bukit Takal ini menawarkan satu produk pelancongan baru kepada daerah Kemaman dan negeri Terengganu, iaitu kunang-kunang atau kelip-kelip.
Kawasan sepanjang sungai di kampung itu yang merupakan habitat kunang-kunang terbesar di Malaysia, mempamerkan panorama yang menakjubkan pada waktu malam dengan kehadiran puluhan ribu kunang-kunang.
Dengan jarak perjalanan kira-kira setengah jam dari Bandar Chukai, Sungai Yak Yah kini menjadi tumpuan pelancong, khususnya di kalangan peminat kunang-kunang atau nama saintifiknya Panthera tigris jacksoni.
Pelancong yang menyusuri Sungai Yak Yah, melibatkan kawasan sepanjang 13 kilometer, pasti akan terpukau dan teruja dengan keindahan kerlipan cahaya kunang-kunang yang mengasyikkan itu.
Sebaik saja bot dinaiki bergerak, para pelawat akan terpesona apabila melihat begitu banyak kelip-kelip mengerumuni pokok-pokok Berembang, Putat dan Bebaru yang tumbuh subur di sepanjang perjalanan mereka menyusuri sungai tersebut.
Dengan menaiki bot berenjin bateri tanpa gangguan bunyi, pastinya akan memberi pengalaman baru yang amat berharga kepada pengunjung, khususnya mereka yang gemar menikmati anugerah alam semulajadi.
Cuba bayangkan, puluhan ribu cahaya kunang-kunang menghiasi pokok-pokok di sepanjang sungai tersebut seolah-olah terdapat pesta lampu yang bergermerlapan di situ.
Kini Kampung Yak Yah bukan saja dilawati pelancong dari negeri-negeri lain di Malaysia, tetapi ia turut menjadi tumpuan pelancong dari Jepun, Singapura, China, Taiwan dan Hong Kong.
Malah, beberapa pelancong dari Belanda sudah melawat kawasan itu apabila mereka mendapat maklumat mengenai keunikan aktiviti melihat kunang-kunang di sepanjang Sungai Yak Yah dari agen-agen pelancongan yang turut membantu mempromosi aktiviti berkenaan.
Terdapat empat spesies kunang-kunang di Sungai Yak Yah di mana haiwan kecil yang unik itu dikatakan membiak dengan begitu banyak dari bulan Julai hingga Oktober pada setiap tahun.
Keadaan ini agak berbeza dengan tempat-tempat lain di Malaysia yang juga terdapat kunang-kunang, tetapi hanya melibatkan satu spesies sahaja.
Bagi memudahkan pengunjung berkunjung ke kawasan berkenaan, terdapat dua pengusaha bot yang menyediakan perkhidmatan menyusuri Sungai Yak Yah dengan bayaran amat berpatutan.
Bagi memastikan kawasan ini menjadi tumpuan pelacong, kerajaan negeri kini mengadakan promosi dan menyediakan kemudahan asas untuk kemudahan pelawat ke kawasan berkenaan.
Malah, langkah-langkah pemuliharaan di kawasan itu turut dilakukan kerajaan bagi menjamin habitat kunang-kunang tidak terancam dan ia terus membiak bagi tarikan pelancong.
Bagi penduduk Kampung Yak Yah dan kawasan sekitar pula, kehadiran kunang-kunang di kawasan tersebut membawa seribu rahmat kerana ia menambah peluang pekerjaan kepada mereka.
Datanglah berkunjung ke Sungai Yak Yah bagi mengalami sendiri pengalaman menyaksikan kelip-kelip yang amat jarang ditemui di tempat lain, kerana kunjungan anda dan keluarga ke sini pasti berbaloi.