Halaman

12 March 2011

Rakyat Terengganu perlu jaga kebersihan bagi tarik pelancong

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Musim cuti cuti sekolah tiba lagi – pastinya negeri ini akan menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara. Mengikut kebiasaannya, hotel, chalet dan rumah tumpangan sekitar bandar Kuala Terengganu akan dipenuhi dengan para pelawat yang datang dari jauh sama ada mahu melihat keindahan alam semula jadi negeri ini atau membeli-belah produk tempatan.


River cruise’ di Taman Tamadun Islam, menjadi satu tarikan orang ramai ke taman tema tersebut yang menjadikan kunjungan ke negeri ini berbaloi. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Bandar Kuala Terengganu yang kini sudah berubah wajah dengan terdirinya banyak bangunan di kawasan pusat bandar dan ‘water front’ di Kampung Cina, akan jadi tumpuan pelancong.

Tasik Kenyir yang kini dimajukan dengan projek Kenyir Island Hopping (KIH), meliputi pembangunan 10 buah pulau di utara Pengkalan Gawi, termasuk Taman Rama-Rama, Taman Burung, Taman Orkid, Taman Herba dan Taman Tropika, bakal menjadi destinasi pelancongan baru.

Taman Rekreasi dan Zoo di Bukit Takal, Kemaman pula semakin ramai dikunjungi pelawat yang mahu melihat kelainan berbanding zoo sedia ada di negara ini.

Manakala aktiviti ‘river cruise’ di Taman Tamadun Islam, menjadi satu tarikan orang ramai ke taman tema tersebut yang menjadikan kunjungan ke negeri ini berbaloi.

Begitu banyak projek dilaksanakan kerajaan bagi memeriahkan aktiviti pelancongan, sekaligus membuka ruang perniagaan kepada penduduk tempatan, khususnya pengusaha makanan dan produk tradisional.

Bagaimanapun, semua ini tidak bermakna jika penduduk tempatan masih mengamalkan tabiat buruk dengan membuang sampah di merata-rata tempat sama ada sekitar pusat bandar atau taman rekreasi.

Setiap kali program keramaian seperti ‘jom heboh’ yang baru saja selesai mahupun pasar-pasar malam, sampah sarap dapat dilihat dengan jelas di kawasan tumpuan orang ramai.



Jika tabiat pengotor ini diteruskan, negeri ini akan mendapat imej yang buruk di kalangan pelancong. Amat sayang jika tempat-tempat yang sebelum ini terkenal dengan keindahan alam seperti pulau-pulau dan kawasan air terjun dipenuhi dengan sampah sarap.

Sepatutnya rakyat tempatan sama-sama menjaga kebersihan kerana ia merupakan sebahagian daripada tuntutan agama.

Penduduk tempatan tidak wajar menyerahkan usaha menjaga kebersihan kepada Pihak
Berkuasa Tempatan semata-mata.



Jadilah warga yang bersih untuk kesejahteraan bersama, buang sampah di tempat yang disediakan.

Semoga dengan menjadi rakyat yang pembersih, negeri kita mendapat untung dan generasi akan datang mencontohi dan menghargai kebaikan sifat tersebut dan bukan sebaliknya.