Halaman

08 March 2011

GERAK GEMPUR PENERANGAN DIPERHEBATKAN



Ketua Penerangan Umno Terengganu YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman menyampaikan amanatnya kepada jentera penerangan baru-baru ini.


Penerangan Umno negeri membuat penerangan berterusan untuk meneruskan penyampaian maklumat kepada rakyat di setiap peringkat Dewan Undangan Negeri di Terengganu, sebagai persiapan awal untuk pilihanraya umum ke 13.

Apabila maklumat sampai kepada rakyat, membolehkan mereka tahu apa sebenarnya yang sedang, telah dan akan dilakukan oleh pihak kerajaan di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk masa depan mereka.

Pada masa yang sama penerangan juga perlu diberikan kepada rakyat tentang kepalsuan pembangkang yang berjuang semata-mata untuk mendapat kuasa, tetapi gagal membela rakyat dan mentadbir negeri bila diberikan kuasa.




Forum Bicara Penerangan

Ini sebagaimana yang telah berlaku di Terengganu (Dis 1999- Mac 2004) dan kini bila mereka berkuasa di Kedah, Selangor dan Pulau Pinang, mereka sebenarnya gagal.

Ketua Penerangan Umno Terengganu, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman telah berjaya menghimpunkan hampir 350 orang jentera penerangan untuk menggempur penerangan ke seluruh pelusuk negeri ini.

Katanya, dalam apa jua usaha yang dijalankan ia perlu diurus dengan bijaksana dan beliau lebih menumpukan kepada perancangan dan usaha agar gerakan penerangan berjalan dengan lancar dalam pelbagai kaedah.


Dalam satu forum penerangan yang diadakan baru-baru ini, bekas Ahli Parlimen dan bekas Ketua Umno Bahagian Dungun, Dato’ Haji Awang Jabar menyifatkan perjuangan memberi penerangan kepada rakyat adalah tugas yang berterusan yang perlu dilakukan.

Pengerusi Veteran Umno, Dato’ Yahya Hashim pula mengingatkan supaya ahli-ahli Umno perlu tahan uji dalam perjuangan dan setia kepada parti dalam keadaan apa jua sekalipun.

Beliau mengingatkan jangan sekali-kali ‘peteh keting’ atau sumbat gol sendiri dalam pilihanraya kerana pembangkang akan mengambil kesempatan untuk melaga-lagakan kita sesama kita.

Pegawai Agama Pejabat Menteri Besar, Ustaz Kamaruddin Omar pula meminta seluruh jentera penerangan berusaha untuk menjelaskan isu kepada rakyat.

“Pas adalah sebuah parti yang banyak merosakkan kedudukan orang Melayu dan Islam, mereka tidak lebih sebagai pengkhianat untuk menjatuhkan Umno dan apabila Umno jatuh mereka bersorak, tetapi mereka sendiri tidak mampu membina kerajaan kerana bertanding tidak cukup kerusi dan kalau berpakat dalam pakatan pembangkang pun Pas hanya berada di pinggiran sahaja,” katanya.

(Peserta turut mengambil bahagian memberi pandangan)
Pengarah Unit Komunikasi (Ukom) Negeri Terengganu, Haji Shamsuddin Sulong pula menyifatkan Pas adalah sebuah parti yang angkuh, tidak mahu langsung mengakui kebaikan Umno dan BN walaupun pemimpin dan ahli parti mereka turut mendapat nikmat hasil perjuangan Umno dan BN selama ini.

Forum Penerangan selama dua jam bersama empat ahli panel itu telah dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah Ukom, Ruslan Abdul Rahman membabitkan seramai 350 peserta jentera penerangan negeri. Peserta juga turut mengambil bahagian mengemukakan pandangan masing-masing berkaitan tugas penerangan.