Halaman

08 March 2011

MFNT teliti bahan pameran

Oleh: Suriati Ali

Majlis Fatwa Negeri Terengganu (MFNT) akan memanggil penganjur pameran mistik bagi membincangkan mengenai bahan-bahan pameran yang bakal dipamer kepada pengunjung di Taman Shahbandar, Kuala Terengganu, April nanti.

Ahli Jawatankuasa MFNT, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail, berkata beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Mufti negeri Terengganu untuk mengadakan perbincangan bersama penganjur Dynasty Event Sdn Bhd pada Isnin ini.

"Berdasarkan maklumat awal yang telah diberikan oleh pihak penganjur, MFNT mendapati sebahagian besar pengisian pameran itu tidak bercanggah dengan agama Islam.

“Pameran mistik yang dijadual akan diadakan selama sebulan akan mempamerkan lebih 130 artifak seperti jenglot, jin dan anak kerak selain pengunjung turut disajikan dengan penerangan, forum dan perbincangan dengan pakar-pakar agama,” katanya.

Bagaimanapun jika ada perkara atau benda yang dipamerkan itu bercanggah dengan agama Islam dan mendatangkan keburukan kepada masyarakat, MFNT tidak akan membenarkannya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berkata setakat ini JHEAT belum memberi kata putus untuk memberi kerjasama kepada Dynasty Event Sdn Bhd untuk mengadakan pameran itu.

"Dia (penganjur) baru berhasrat untuk mendapatkan kerjasama daripada kita. Sama ada kita setuju atau tidak, kita belum putuskan," katanya.

Sebelum ini blog Teganukita pernah melaporkan bahawa kerajaan negeri akan melihat secara terperinci sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pameran alam mistik yang bakal dianjurkan syarikat Dynasty Event Sdn Bhd selama tiga bulan bermula April depan.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihak akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) sebelum meluluskan pameran itu.

“Kerajaan negeri akan menarik permit pameran sekiranya tidak mendapat kebenaran Majlis Fatwa walaupun Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sudah mengeluarkan lesen,” katanya ketika diminta mengulas mengenai cadangan syarikat berkenaan mengadakan pameran alam mistik di Dataran Shahbandar.

Dato’ Seri Ahmad menegaskan sehingga ini, kerajaan negeri tidak boleh memberi keputusan muktamad sama ada syarikat tersebut boleh meneruskan pameran itu atau sebaliknya.