Halaman

11 March 2011

Jabatan Penerangan Terengganu lancar 486 program sepanjang 2011

Oleh: Aida Abd Rahman

Sebanyak 486 program dan aktiviti melibatkan peringkat negeri serta daerah bakal dilancarkan Jabatan Penerangan Negeri Terengganu sepanjang tahun ini.

Pengarahnya, Puan Azizah Awang berkata semua program yang dirancang itu berdasarkan Penunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian dan jabatan.
"Semua program adalah mengikut sasaran tertentu dan kesesuaian sesuatu tempat. Setakat ini, sebanyak 25 peratus daripada program itu telah dijalankan," katanya pada program Karnival 1Malaysia anjuran jabatan itu di Kolej Islam, Sains dan Teknologi (KIST) cawangan Terengganu di Kuala Berang, semalam (10 Mac).
Turut hadir, Presiden KIST Group Holding, Encik Roomai Nor Ali.

Puan Azizah berkata semua aktiviti jabatan itu melibatkan kumpulan sasar seperti Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, kakitangan kerajaan, pelajar sekolah, masyarakat umum dan belia.

Selain itu, jabatan itu juga mengadakan program Wacana Bicara 1Malaysia di peringkat sekolah selain menubuhkan Kelab Setia di setiap sekolah menengah yang akan membantu menyebarkan dasar kerajaan.

Katanya, jabatan turut mewujudkan Komuniti 1Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai Komuniti Bestari di 83 mukim untuk semua pihak hingga akar umbi.

Sementara itu, Roomai Nor berkata KIST kini sedang meninjau peluang pendidikan di luar negara termasuk menghantar beberapa pegawai tinggi KIST Group Holding ke Pakistan untuk meninjau peluang di negara itu.

Di Terengganu KIST mempunyai kira-kira 530 penuntut dalam enam jurusan iaitu Diploma Psikologi, Diploma Sains Senaman dan Sukan, Diploma Farmasi, Diploma Teknologi Makmal Perubatan, Diploma Kesihatan Persekitaran dan Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

"Bagi memenuhi permintaan pendidikan dan kemahiran, kita akan tambah tiga kursus lagi di sini mulai pengambilan Jun ini iaitu Diploma Pembantu Perubatan, Diploma Kejururawatan dan Diploma Domestik Radioterapi," katanya.