Halaman

11 March 2011

Kemenangan Merlimau, Kerdau tonik buat UMNO Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN) dalam dua Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan DUN Kerdau, menjadi tonik buat UMNO Terengganu mengatur gerak kerja, bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ketua Penerangan UMNO Terengganu, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata pihaknya kini sedang giat mengatur gerak kerja secara menyeluruh meliputi peringkat bahagian dan cawangan, termasuk menyediakan input penerangan kepada penceramah-penceramah.

“Kita sudah tidak ada banyak masa kerana berdasarkan petunjuk-petunjuk sedia ada pilihan raya umum semakin hampir. Justeru itu, kita perlu bersiap sedia mulai sekarang bagi memperkemaskan jentera parti,” katanya kepada Teganukita.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemenangan besar calon BN dalam pilihan raya tersebut di mana calon BN Roslan Ahmad (Merlimau) mendapat 5,962 undi setelah mengalahkan calon Pas, Yuhaizad Abdullah yang hanya mampu meraih 2,319 undi.

Manakala bagi bagi DUN Kerdau pula, Syed Ibrahim Syed Ahmad (BN) mendapat 5,060 undi dan mengalahkan calon Pas, Hassanuddin Salim yang menerima 2,336 undi.

Haji Ahmad Razif berkata, pihaknya akan mengadakan penerangan isu-isu semasa mengikut tempat yang diatur di seluruh negeri, dalam tempoh terdekat ini.

“Manakala risalah-risalah juga akan diedar mengikut isu tertentu supaya rakyat tidak dikelirukan dengan pelbagai dakyah yang dibawa oleh pihak pembangkang,” ujar beliau.