Halaman

09 March 2011

Kerajaan tingkat pengeluaran air sehingga 2015

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM82.50 juta bagi melaksanakan projek-projek pembangunan bekalan air seluruh negeri dan daripada jumlah tersebut RM72.0 juta adalah sumber pinjaman Kerajaan Pusat manakala bakinya iaitu RM10 juta dari sumber kerajaan.

“Antara projek yang diluluskan terdiri dari projek sambungan dan projek baru,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib.

Katanya, projek bekalan Air Besut Peringkat 111, yang menelan belanja RM66 juta sedang dalam pembinaan, antara usaha meningkatkan kapasiti loji di Bukit Bunga dari 61.75 juta liter sehari kepada 99.5 juta sehari bagi menampung kepentingan air sehingga 2015.

Selain itu katanya, usaha juga sedang dibuat bagi mengurangkan kadar kehilangan Air Tidak Terakuan (NRW) dengan kos RM45.75 juta dan projek ini akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) membabitkan kos RM11 juta lagi untuk pelan pelaksanaan utama dengan sasaran mencapai 30 peratus NRW menjelang 2015.

Katanya, sebanyak RM32.7 juta turut dibelanjakan bagi projek naik taraf Loji Air Tepus di Dungun bagi menampung permintaan bekalan air domestik dan industri di kawasan Bukit Besi, Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Jerangau dan sekitarnya.

“Projek bekalan air di Teluk Kalong dan Pasir Panjang di Pulau Redang juga sedang giat dijalankan dengan kos RM10.5 juta,” katanya.

Sebanyak RM15.781 juta lagi untuk pembangunan infrastruktur sistem air paip tangki bermenara di Bandar baru Kijal, Kemaman yang kini sedang dilaksanakan.