Halaman

10 March 2011

Pohon bantuan melalui saluran yang betul-YB Yahya

Oleh: Aida Abd Rahman

Sikap segelintir individu yang tidak gemar bergaul dan meminggirkan diri daripada menyertai komuniti di kampung menjadi punca mereka tidak mengetahui saluran yang tepat bagi mendapatkan pelbagai bantuan kebajikan yang disediakan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib Mohamad, berkata golongan itu lazimnya lebih gemar membawa haluan sendiri dan langsung tidak mahu terlibat dalam pelbagai program kemasyarakatan dengan anggapan penyertaan itu tidak memberi apa-apa faedah kepadanya.
“Kadangkala golongan yang memerlukan datang berjumpa terus dengan kita dan minta bantuan tertentu. Walhal mereka ada saluran yang betul sama ada menemui Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan pejabat Penyelaras Dun masing-masing yang akan memberi khidmat dan menerangkan cara permohonan diuruskan,” katanya ketika ditemui Teganukita, semalam (9 Mac).

Katanya, pelbagai bantuan dan peruntukan yang disediakan kerajaan negeri untuk meringankan bebanan rakyat yang ditimpa kesusahan dan penyakit termasuk Tabung Darul Iman, Tabung Penyakit Kronik dan Program Bantuan Rumah sama ada bina baru atau baik pulih.

Pada masa yang sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga menyediakan bantuan am berdasarkan beberapa kategori yang boleh dipohon berdasarkan syarat tertentu.

Beliau berkata, kes-kes bencana alam seperti ribut, kebakaran dan banjir adalah kejadian yang memerlukan tindakan segera dan perkara itu akan dirujuk di bawah Tabung Darul Iman.

Menurutnya, tabung itu mampu menangani had peruntukan jabatan yang terhad serta mengelakkan sebarang prosedur yang ketat berbanding bantuan-batuan lain.

Sementara Tabung Penyakit Kronik pula, katanya diwujudkan sejak tahun lalu dengan peruntukan RM10 juta untuk kes rakyat yang menderita penyakit kronik dan kritikal dan tidak berkemampuan mendapatkan rawatan yang sepatutnya disebabkan kekangan sumber kewangan.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kesihatan contohnya, walaupun mempunyai berbagai skim bantuan untuk golongan miskin dan yang memerlukan, namun dua jabatan itu mempunyai skim bantuan dan kadar maksimum bantuan yang terhad,” katanya.

YB Yahya berkata, berdasarkan kelemahan dan kekurangan itu, Kerajaan Terengganu mengambil langkah segera bagi menanganinya dengan menubuhkan Tabung Penyakit Kronik yang sudah melibatkan 230 pemohon dengan perbelanjaan kira-kira RM358,000 sehingga Februari lalu sejak tabung itu diperkenalkan.